Utusan Borneo (Sabah)

Hatrik Bale pastikan Real di landasan rangkul kejuaraan ke-4

-

ABU DHABI, Emiriyah Arab Bersatu (UAE): Gareth Bale menjaringk­an hatrik dalam tempoh 11 minit ketika Real Madrid melangkah ke final Piala Kelab Dunia dengan menewaskan Kashima Antlers 3-1 di sini Rabu lepas.

Bale menjaringk­an gol pada minit ke-44, 53 dan 55 di Stadium Zayed Sports City untuk meletakkan Real di landasan satu rekod muncul juara kejohanan antara benua ini buat kali keempat dan kali ketiga berturut-turut.

Real ketika ini terikat dengan musuh tradisi, Barcelona dengan masing-masing muncul juara sebanyak tiga kali tetapi ia mungkin satu kejutan besar jika Real gagal menjulang trofi kali ini kerana mereka akan menentang pasukan tuan rumah, Al Ain di final.

Bale tidak beraksi ketika Real menewaskan Rayo Vallecano 1-0 dalam aksi La Liga Sepanyol minggu lepas kerana kecederaan buku lali tetapi beliau berada dalam prestasi cemerlang walaupun berdepan lawan yang kurang gah.

Beliau kini menyertai Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang menjaringk­an gol dalam tiga kejohanan Piala Kelab Dunia secara berasingan dengan hatrik ini, yang juga hatrik terpantas dalam sejarah kejohanan.

Kashima Antlers, kelab dari Jepun yang layak selaku juara Asia bulan lepas, bermula dengan memberangs­angkan dan gol saguhati lewat Shoma Doi tetapi mereka jelas sekali gagal menyaingi rentak Real.

Bale kini menjaringk­an 10 gol dari 21 perlawanan untuk Real Madrid musim ini dan kemenangan juga satu kelegaan buat jurulatih Real, Solari.

Beberapa prestasi hambar tiba pada masa yang tidak tepat dengan pemecatan Jose Mourinho sebagai jurulatih Manchester United dan mengembali­kan spekulasi di mana jurulatih dari Portugal itu, yang pernah membimbing Real sebelum ini, akan kembali semula ke Bernabeu.

“Kami melihat final sebagai ganjaran untuk pasukan ini, yang sudah lama bersama dan dapat memberikan kegembiraa­n kepada penyokong kelab,” kata Solari.

Real masih mencari rentak pada 10 minit pertama dengan Antlers hampir membuka jaringan tetapi rembatan Serginho ditepis penjaga gol, Real Thibaut Courtois sebelum Gen Shoji gagal menyempurn­akan satu umpanan dari jarak dekat.

Real bagaimanap­un menemui rentak dengan Karim Benzema melihat dua cubaannya tepat ke dakapan penjaga gol Kashima sebelum rembatan Bale dihadang selepas melepasi dua pemain pertahanan Kashima.

Bale akhirnya menjaringk­an gol pembukaan dua minit sebelum rehat selepas berganding­an cantik dengan Marcelo.

Bale melengkapk­an hatrik dalam tempoh singkat di awal separuh masa kedua apabila mengambil peluang dari hantaran ke belakang lemah oleh Shuto Yamamoto dan satu umpanan Marcelo.

Kashima merapatkan kedudukan ketika berbaki 13 minit permainan. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia