Utusan Borneo (Sabah)

Anggota tentera ditahan bantu siasatan kes rogol

- Oleh NORWAHIDA YAMALUDDIN

LAHAD DATU: Seorang anggota tentera, 24, ditahan polis pada Sabtu bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis berusia 21 tahun di sebuah hotel di sini, pada 18 Disember.

Ketua Polis Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, suspek dikatakan baru menjalinka­n hubungan cinta empat bulan dengan kekasihnya yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di ibu negeri.

Katanya, pada 17 Disember mangsa dihubungi suspek yang sedang berehat di tempat kerja dengan mengajakny­a untuk bertemu lalu keluar ke Terminal Bas Ekspres Inanam, Kota Kinabalu.

“Suspek bertindak membeli tiket bas ekspres menuju ke Lahad Datu dan mangsa telah merayurayu untuk dilepaskan namun tidak diendahkan suspek.

“Sebaliknya, suspek menampar muka mangsa dan menumbuk perut mangsa. Sepanjang perjalanan ke Lahad Datu, suspek mengugut mangsa akan memukulnya sekiranya menangis,” katanya.

Nasri berkata, setelah tiba di Lahad Datu, mangsa dibawa ke hotel dan suspek telah memaksa mangsa untuk melakukan hubungan seks.

Katanya, suspek telah memukul mangsa di bahagian tangan, perut dan paha.

Siasatan awal mendapati mangsa kemudianny­a telah dibawa ke Sandakan dan dilepaskan lalu diambil sepupunya yang berada di sana.

Mangsa kemudian telah dibawa ke Hospital Lahad Datu dan doktor mengesahka­n terdapat kesan koyakan baharu serta kesan lebam di tangan kiri dan kaki mangsa.

Siasatan juga mendapati suspek anggota tentera dari Kem Penrissen, Sarawak yang lari dari tugas sejak 14 Oktober 2018.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia