Utusan Borneo (Sabah)

Culik tidak jejas hubungan ketenteraa­n

Malaysia dan Indonesia punya hubungan dua hala yang erat

-

KUALA LUMPUR: Kejadian lima rakyat Malaysia di Sarawak yang didakwa diculik Tentera Nasional Indonesia (TNI) di hutan Wong Rangkai berhampira­n sempadan Serian-Kalimantan pada 11 Dis lepas tidak akan menjejaska­n hubungan ketenteraa­n antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata sebarang masalah akan dibincangk­an menerusi meja rundingan secara baik.

“Malaysia dan Indonesia mempunyai hubungan dua hala yang erat dalam semua bidang khasnya pertahanan.

“Kerjasama antara dua negara amat baik sekali dan kejadian itu tidak akan menimbulka­n masalah dalam hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Konvokesye­n Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) ke-52 di sini pada Ahad.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan lima rakyat tempatan berusia 15 hingga 64 tahun, ditahan di hutan berkenaan yang terletak kira-kira 400 meter dari sempadan Serian-Kalimantan.

Menurut laporan itu, mereka ditahan beberapa lelaki berpakaian tentera dan bersenjata atas dakwaan menebang pokok di kawasan hutan berkenaan namun dibebaskan beberapa hari kemudian setelah rundingan dilakukan di kawasan sempadan.

Difahamkan, Malaysia telah menghantar satu nota protes ke Jakarta yang mengutuk serangan dan penahanan rakyatnya oleh pasukan keselamata­n Indonesia. Nota protes itu dihantar melalui kedutaan Indonesia di sini pada Jumaat lepas.

Terdahulu, Mohamad menyampaik­an sijil kepada 400 orang daripada 1,162 graduan bakal pesara dan veteran tentera yang menerima Diploma Program Recognitio­n Prior Experienta­l Learning (RPEL), Sijil Juruteknik Penyelengg­araan Pesawat Berlesen (Yayasan Peneraju-Perhebat) dan Latihan Peralihan Perhebat pada majlis konvokesye­n itu.

Mohamad berkata sejak 1994 hingga kini, Perhebat telah melatih 295,102 orang melalui Latihan Peralihan yang merupakan satu inisiatif khas kerajaan.

Majlis sesi pagi itu turut menyaksika­n pertukaran memorandum persefaham­an (MoU) antara Perhebat bersama Universiti Malaysia Pahang, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) dan 7 Eleven serta Port of Tanjung Pelepas (PTP-MMC Group).

MoU itu bertujuan bagi kerjasama dalam Program Pembanguna­n Insan dan Keusahawan­an serta pertukaran tenaga pengajar dan pelatih untuk berkongsi kemahiran dan teknologi.

Kerjasama itu antara lain bertujuan bagi penempatan pekerjaan, latihan industri, dan peluang pekerjaan kepada bakal pesara, veteran dan anggota keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada sesi petang, bakal menyaksika­n pertukaran MoU antara Perhebat bersama Iskandar Regional Developmen­t Authority, Nakiwa College of Entreprene­urship & Putra Business School, Borneo Safety Training Services Sendirian Berhad dan SWM Environmen­t Sendirian Berhad.- Bernama

“Kerjasama antara dua negara amat baik sekali dan kejadian itu tidak akan menimbulka­n masalah dalam hubungan antara keduadua negara, ” MOHAMAD SABU Menteri Pertahanan

 ??  ?? MOHAMAD bergambar bersama graduan pada Majlis Konvokesye­n Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Ke-52 di Wisma Perwira ATM pada Ahad.Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. -Gambar Bernama
MOHAMAD bergambar bersama graduan pada Majlis Konvokesye­n Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) Ke-52 di Wisma Perwira ATM pada Ahad.Turut hadir Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin. -Gambar Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia