Utusan Borneo (Sabah)

Kerajaan amat hargai sumbangan rakyat kepada Tabung Harapan

-

PUTRAJAYA: Menjelang penutupan rasmi Tabung Harapan Malaysia (THM) yang berkuatkua­sa pada 31 Disember 2018, kerajaan merakamkan setinggi-tinggi penghargaa­n dan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan.

Dalam satu kenyataan semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, sumbangan tersebut adalah hasil daripada inisiatif orang perseorang­an, organisasi, badan bukan kerajaan (NGO) serta faedah daripada pelaburan simpanan tetap yang diurus Jabatan Akauntan Negara.

Guan Eng berkata, jumlah terkumpul THM sehingga jam 9 pagi 23 Disember 2018 adalah sebanyak RM199,140,218.80.

“Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan THM pada 31 Disember 2018.

“Potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan THM untuk 2019,” katanya.

Menteri itu berkata, kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberi akan digunakan untuk melangsaik­an hutang negara.

“Walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion, jauh lebih besar berbanding hasil kutipan THM, kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini dan berharap agar semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya.

Jelasnya, kerajaan amat menghargai setiap sen yang didermakan yang menunjukka­n rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu kerajaan melangsaik­an hutang negara.

Guan Eng berkata, semangat yang ditunjukka­n itu adalah simbol taat setia dan patriotism­e rakyat Malaysia yang perlu dikekalkan.

Menurutnya, kerajaan juga turut merafak sembah dan mengucapka­n setinggiti­nggi penghargaa­n kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V di atas sumbangan baginda kepada THM.

Katanya, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegri­ti.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia