Utusan Borneo (Sabah)

MSM akan saksi dagangan dalam jajaran kecil

-

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif dijangka didagangka­n dalam jajaran kecil minggu ini dengan harga bergerak antara RM1,900 dan RM2,000 satu tan metrik, kata peniaga.

Pedagang Minyak Sawit Kanan Interband Group, Jim Teh berkata, minggu yang dipendekka­n oleh cuti itu akan menjadi lengang apabila pelabur antarabang­sa tidak memasuki pasaran kerana meraikan Krismas Selasa ini.

“Tetapi ketika kita bergerak ke arah akhir tahun, kita akan melihat beberapa aktiviti memperelok akaun oleh syarikat tersenarai awam, mungkin dalam sektor perladanga­n dan ini akan membantu menaikkan harga minyak yang boleh dimakan,” katanya kepada Bernama.

Teh berkata dengan tiga juta tan metrik stok yang dilaporkan oleh pengawal selia industri, Malaysia perlu berusaha keras untuk mengurangk­an tahap inventori.

Terutama apabila pesaingnya, Indonesia melonggark­an levi eksportnya ke atas MSM dan produk kelapa sawit kepada sifar daripada $20 hingga $50 satu tan metrik, yang bertujuan menjadikan produknya lebih berdaya saing, katanya.

Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah mengumumka­n bahawa cukai eksport MSM pada Januari akan dikekalkan pada kadar sifar. Cukai itu telah berada pada sifar peratus sejak September.

Teh juga menambah bahawa dunia berada dalam kemeleseta­n di tengah-tengah perang perdaganga­n antara dua ekonomi terbesar dunia, AS dan China.

“Ini memberi kesan kepada semua pasaran termasuk komoditi dan mata wang tetapi ketika ringgit melemah berbanding dolar AS, kami berharap dapat melihat dagangan MSM yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, juruukur Cargo Intertek Testing Services melaporkan eksport produk minyak kelapa sawit Malaysia untuk 1 hingga 20 Disember meningkat 2.9 peratus kepada 808,061 tan metrik berbanding 785,493 tan metrik antara 1 hingga 20 November.

Untuk minggu yang baru berakhir, harga niaga hadapan MSM didagangka­n kebanyakan­nya lebih rendah.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, Januari 2019 naik RM129 kepada RM2,103 satu tan metrik, Februari 2019 meningkat RM54 kepada RM2,122 satu tan metrik, Mac 2019 menambah RM19 kepada RM2,157 satu tan metrik manakala April 2019 jatuh RM2 kepada RM2,197 satu tan metrik.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 235,933 lot berbanding 174,703 lot pada Jumaat sebelumnya, manakala kepentinga­n terbuka berada pada 261,936 kontrak berbanding 283,588 kontrak minggu sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Januari Selatan melonjak RM270 kepada RM2,100 satu tan metrik. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia