Majang gesa ahli PRS sentiasa setia, patuh kepada pucuk pimpinan parti
MIRI: Semua ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) digesa terus mendukung perjuangan dan sentiasa setia serta patuh kepada pucuk pimpinan parti.
Naib Presiden PRS Majang Renggi berkata, ini bagi membolehkan parti itu bekerjasama dengan parti lain dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperjuang hak negeri daripada kerajaan persekutuan.
Majang berkata, PRS sedar bahawa terdapat desas-desus sering dan sedang diperkatakan di kalangan rakyat di negeri ini dan di peringkat akar umbi mengenai imej Sarawak.
Justeru beliau yang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju berkata, sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dalam memperjuangkan nasib rakyat di negeri ini, ahli-ahli PRS diminta melakukan yang terbaik dalam menyalurkan maklumat dan berita yang betul dan sahih menerusi saluran sedia ada.
“Antara isu paling hangat dan sangat dekat di hati rakyat adalah berkaitan dengan pengukuran dan pengiktirafan Tanah Adat Hak Bumiputera (NCR). Sehubungan itu kerajaan negeri meluluskan pindaan kepada Akta Tanah Bumiputera yang diharap dapat menyelesaikan isu-isu bekaitan tanah.”
“Walaupun kerajaan persekutuan tidak menyediakan peruntukan khusus bagi pengukuran tanah NCR untuk 2019, kerajaan GPS akan tetap meneruskan kerja-kerja pengukuran melalui pembahagian bajet sebanyak RM40 juta oleh kerajaan negeri,” katanya berucap pada majlis makan malam sempena Tahun Baharu 2019 anjuran PRS Bahagian Senadin di sebuah hotel malam Jumaat.
Selain itu, isu berkaitan hak Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian MA63 akan terus diperjuangkan dan menjadi perkara penting tahun ini.
Majang menambah, presiden PRS merangkap Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr. James Masing adalah antara rakyat Sarawak yang paling lantang dalam mempertahan hak Sarawak sejak isu ini mula dibangkitkan.
“Dengan sokongan padu dan tidak berbelah bagi dari seluruh rakyat tanpa mengira etnik, agama dan pegangan politik, kita yakin bahawa hak-hak yang telah hilang itu akan dikembalikan kepada kita seperti termaktub dalam Perjanjian MA63.
PRS adalah parti anak watan Sarawak yang lahir dari pengalaman yang banyak mengajar kita betapa perlunya satu kesepakatan terhadap objektif perjuangan dan hala tuju parti dalam usaha memperjuangkan serta mempertahan hak dan kepentingan rakyat Sarawak.