Pengeluar minuman herba tempatan OK Group bakal kembang pasaran antarabangsa
MELAKA: Pengeluar minuman herba tempatan, Orang Kampung Holdings (M) Sdn Bhd (OK Group) ketika ini sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa di beberapa negara dalam usahanya untuk mengembangkan pasaran antarabangsa produk keluaran syarikat tersebut.
Pengurus Operasi OK Group Noorhady Mokhtar berkata proses pendaftaran produk syarikat itu ke pasaran China, Indonesia dan negara timur tengah seperti Arab Saudi dan Dubai dijangka selesai pertengahan tahun ini.
Beliauberkataantaraproduk yang akan dibawa masuk ke pasaran baharu itu ialah minuman tenaga termasuk ‘Long Jack’ dan Kacip Fatimah selain minuman segera seperti Green Tea Latte.
“Kita berharap proses pendaftaran masuk bagi produk keluaran syarikat ke pasaran baharu ini dapat dimuktamadkan selewatlewatnya pertengahan tahun ini.
“Usaha ini selaras dengan visi syarikat untuk mengembangkan pasaran sedia ada dan memperkukuhkan kedudukan OK Group sebagai pengeluar minuman herba tempatan yang berjaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Beli dan Menang bersama Orang Kampung, di sini, kelmarin.
Sebelum ini produk keluaran Ok Group telah pun menembusi pasaran Brunei, Singapura, Hong Kong dan Filipina.
Noorhady berkata bagi pasarantempatanpula,produk OK Group akan memasuki pelbagai kategori rangkaian outlet, kedai dan pasar raya besar di seluruh negara dari semasa ke semasa.
Sementara itu, mengenai peraduan tersebut yang berlangsung dari 15 Sept hingga 31 Dis 2018, beliau berkata pihaknya menerima lebih 10,000 penyertaan daripada pengguna produk OK Group dengan kerjasama 10 Pasar Raya Mydin terpilih di seluruh negara.
Katanya, menerusi pembelian produk OK Group bernilai RM50 dalam satu resit, 50 pemenang bertuah akan membawa pulang hadiah basikal jenama OFO setiap seorang.
“Pada hari ini (kelmarin), kita menyampaikan hadiah berupa 10 basikal OFO kepada 10 pemenang bertuah peraduan ini di Melaka dan pemenang di negeri lain akan menerima hadiah berkenaan dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama