Cabaran penubuhan Koperasi Pengguna di sekolah menengah luar bandar
Oleh PROF. MADYA DR. ABDUL SAID AMBOTANG
Pengguna boleh ditakrifkan sebagai koperasi yang menjalankan aktiviti kepenggunaan seperti pasar mini, pasar raya, kedai runcit, stesen minyak, kedai alatan rumah dan lain-lain. Koperasi Pengguna yang pertama di Malaysia telah didaftarkan pada tahun 1936 atas nama ‘Ulu Langat Malay Cooperative Shop Society’.
Ekoran daripada usaha kerajaan untuk terus memberikan insentif berbentuk kewangan, galakan dan sokongan kepada Koperasi Pengguna, sebanyak 248 buah koperasi telah ditubuhkan pada tahun 1951. Namun apabila bantuan ini dihentikan awal 1960an, sebanyak 44 buah Koperasi Pengguna telah ditutup. Kegagalan koperasi untuk mengutip hutang juga turut menyumbang ke arah berlakunya perkara ini.
Mengikut data am Koperasi Pengguna Dewasa di Malaysia yang dikeluarkan oleh SKM pada tahun 2007, terdapat 1,212 koperasi yang menjalankan aktiviti kepenggunaan. Bagaimanapun, kebanyakan saiz kedai koperasi di Malaysia adalah berskala kecil dan sederhana ditambah pula kuasa beli koperasi yang rendah. Ini mengakibatkan koperasi tidak mendapat faedah daripada diskaun harga atas belian pukal.
Hakikat ini juga memberi kesan di mana sebanyak 184 buah Koperasi Pengguna telah dibatalkan pendaftarannya setakat 2008. Secara keseluruhannya, walaupun Koperasi Pengguna merupakan antara fungsi terbesar koperasi, namun sumbangannya dari segi keanggotaan, modal syer, aset dan keuntungan masih lagi rendah berbanding koperasi yang didaftarkan di bawah fungsi lain.
Justeru itu, satu penyelidikan ini bertujuan mengenal pasti cabaran, faktor-faktor yang dihadapi oleh Koperasi Pengguna di dalam menjalankan aktiviti peruncitan di sekolah menengah khususnya di luar bandar. Di samping itu, persepsi ahli Koperasi Pengguna juga ditinjau untuk melihat pandangan mereka terhadap prospek dan hala tuju di dalam perniagaan runcit yang mereka ceburi di sekolah masingmasing.
Data Koperasi Pengguna yang dijadikan sampel adalah diambil dari pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) setakat 31 Disember 2016. Hasil daripada kajian ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh semua pihak khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Maktab Kerjasama Malaysia (MKM), agensiagensi berkaitan serta Gerakan Koperasi sendiri untuk merangka program, polisi dan strategi yang bersesuaian untuk memajukan lagi Koperasi Pengguna di sekolah menengah di seluruh Malaysia.
Sehubungan dengan ini, satu kajian tinjauan secara kuantitatif (quantitative survey) dan kualitatif ke atas Koperasi Pengguna di sekolah menengah luar bandar dirancang akan dijalankan untuk mendapatkan gambaran awal bentuk cabaran yang dihadapi oleh entiti koperasi sekolah menengah di luar bandar Sabah. Satu sesi temu bual akan diadakan dan juga soal selidik akan diedarkan kepada salah seorang daripada ALK yang terdiri daripada pengerusi, setiausaha, bendahari atau pengerusi koperasi untuk mendapatkan maklum balas daripada mereka.
Koperasi Pengguna yang terlibat di dalam penyelidikan ini hanyalah koperasi sekolah menengah. Sebelum proses tinjauan dilakukan, komponen di dalam soal selidik dibangunkan berdasarkan maklum balas hasil dari temu bual secara kualitatif atau kajian rintis ke atas Koperasi Pengguna sekolah menengah di sekitar Kuala Penyu Sabah akan diambil kira.
Soal selidik yang dibangunkan mengandungi maklumat berkaitan dengan demografi koperasi, latar belakang responden serta skala Likert untuk menentukan cabaran, faktor kejayaan, prospek serta hala tuju koperasi. Pegawai SKM Wilayah kemudiannya akan dihubungi untuk mendapatkan pengesahan serta data terkini jumlah sebenar Koperasi Pengguna di daerah masing-masing sebelum bancian sebenar dilakukan. Pegawai ini turut dilantik sebagai pembanci bagi memudahkan urusan mengumpul data bagi kawasan masing-masing. Kaedah penganalisisan yang digunakan adalah dengan menggunakan perisian SPSS
Beberapa aspek analisis dijalankan antaranya analisis deskriptif, analisis faktor, ujian min dan sebagainya. Statistik ringkas dan jadual juga digunakan untuk melihat perbandingan jawatan di koperasi dengan ciri-ciri demografi seperti jantina, umur, keturunan, kelulusan tertinggi, tempoh memegang jawatan di koperasi dan bentuk khidmat di koperasi. Dijangka sebanyak empat buah koperasi sekolah menengah terlibat dalam penyelidikan awal ini.
Cabaran Koperasi Pengguna sekolah menengah luar bandar ini juga turut melibatkan pengumpulan maklumat berkaitan sebab-sebab kakitangan berhenti dan diberhentikan. Antara sebab kakitangan berhenti adalah kerana mendapat kerja di tempat lain dan kakitangan yang mempunyai masalah disiplin merupakan sebab utama mereka diberhentikan.
Secara keseluruhannya beberapa cabaran-cabaran utama yang dijangka dihadapi oleh Koperasi Pengguna sekolah menengah luar bandar antaranya adalah (1) persaingan daripada sektor swasta yang menjalankan perniagaan peruncitan; (2) ALK kurang pengetahuan dan kemahiran dalam bidang peruncitan; (3) saiz kedai koperasi ini yang kecil.
Manakala faktor-faktor penting yang dijangka akan menyumbang kepada kejayaan aktiviti peruncitan koperasi ialah (1) memperketat kawalan dalaman bagi mengelak berlakunya kebocoran; (2) aktiviti pemasaran yang berterusan dan berkesan oleh kedai koperasi; (3) pengurusan kewangan kedai koperasi yang baik.
Sementara bagi membentuk hala tuju Koperasi Pengguna secara keseluruhannya di masa akan datang responden mengharapkan (1) kerajaan memberi peluang kepada Koperasi Pengguna untuk mendapatkan lokasi strategik serta kawasan tumpuan utama bagi menjalankan perniagaan; (2) ALK yang dilantik dalam koperasi mestilah berfikiran ‘business minded’; (3) koperasi akan sentiasa berdaya saing, maju dan tahan di masa akan datang dengan adanya pemantauan dan sokongan secara berterusan oleh pihak yang bertanggungjawab.
Di bahagian akhir penyelidikan yang bakal dijalankan ini, diharapkan agar cadangan dari responden yang bakal diperoleh, dijadikan rujukan utama untuk mengkaji bagaimana Koperasi Pengguna boleh menjadi lebih berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing pada masa hadapan.
Responden turut diminta untuk mengemukakan beberapa cadangan yang difikirkan signifikan terutamanya melibatkan sokongan daripada pelbagai pihak antaranya para pelajar, guru, KPDNKK, SKM dan juga gerakan ahli Koperasi Pengguna dalam memastikan gerakan Koperasi Pengguna terus relevan dan berjaya.
* Penulis adalah Pensyarah Kanan di Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Universiti Malaysia Sabah