JKKP Johor batal sembilan perakuan pendaftaran OYK salah guna dan pemalsuan maklumat
JOHOR BAHRU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor membatalkan sebanyak lapan perakuan pendaftaran Orang Yang Kompeten (OYK) akibat kesalahan salah guna dan ubah suai maklumat perakuan.
Pengarah JKKP Johor Ir Dasuki Mohd Heak berkata tindakan pembatalan bagi OYK Operator Kren Menara dan Pengendali Perancah itu dilakukan hasil daripada aduan yang diterima sejak Julai dan November lepas.
“Pendaftaran dibatalkan kerana didapati tujuh orang operator kren yang bekerja di syarikat pembinaan telah memajak kerja pengendalian kren menara kepada warga asing dan individu lain yang tidak kompeten.
“Enam daripadanya telah menyalahgunakan perakuan pendaftaran tersebut, manakala seorang lagi dalam proses permohonan pendaftaran,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Rabu.
Manakala dua perakuan OYK Pengendali Perancah pula dibatalkan kerana didapati terdapat pemalsuan perakuan pendaftaran dilakukan dengan mengubah suai maklumat di dalam perakuan.
Justeru itu, Dasuki berkata pihaknya memberi memberikan peringatan tegas kepada pemegangpemegang perakuan pendaftaran OYK supaya tidak menyalahgunakan perakuan yang diberikan.
Menurutnya, OYK juga dinasihatkan agar mematuhi segala akta dan peraturan peraturan yang telah dikuatkuasakan oleh JKKP Malaysia bagi mengelakkan daripada tindakan pembatalan pendaftaran dilakukan.
Beiau turut menasihatkan agar para majikan membuat semakan profail di JKKP menerusi laman web http:// mykkp.dosh.gov.my sebelum mengambil OYK bekerja. -Bernama