Jurulatih dari Korea kendalikan klinik tenis ringan
KOTA KINABALU: Sabah berpeluang menimba ilmu sukan tenis ringan daripada Persatuan Tenis Ringan Korea (KSTA) yang akan mengendalikan klinik untuk pemain selama dua minggu di sini.
Setiausaha Kehormat Persatuan Tenis Ringan Sabah (SSTA) Yenny Yapp berkata, KSTA akan menghantar rombongan dari Daegu Bank, Korea yang terdiri daripada seorang ketua jurulatih dan tujuh mentor wanita untuk tujuan itu.
Yenny dalam kenyataannya pada Rabu berkata, Pengurus Besar KSTA Ki Tae Ju telah mengesahkan bahawa rombongan yang diketuai jurulatih Cho Keyoung Soo itu akan berada di sini pada 21 Januari hingga 15 Februari.
Tujuh mentor wanita yang akan membantu Cho mengendalikan klinik itu adalah Cho EunJeong, Park DaSom, Kim JiYeon, Kim Miae, Kim Jisu, Seo Yeon Hee dan Kim You Rim.
Sempena dengan klinik itu juga akan diadakan pertandingan di kalangan peserta pada hari terakhir.
Kerjasama antara KSTA dan SSTA itu terjalin atas usaha pegawai SSTA, KK Chin semasa Perhimpunan Agung Persekutuan Tenis Ringan Asia (ASTF) di Chiangmai, Thailand pada 8-10 Disember 2018.
Baru-baru ini ASTF juga telah melantik KK Chin sebagai Perwakilan Teknikal untuk tenis ringan pada Sukan SEA Ke-30 Manila, Filipina pada 1-10 Disember 2019.
Sambil itu, kehadiran rombongan dari Korea itu adalah antara dua berita gembira di awal tahun bagi SSTA bila mana pada masa yang sama mereka turut dimaklumkan bahawa pendaftaran Persatuan Tenis Ringan Malaysia (MSTA) juga telah diluluskan.
SSTA adalah antara watak utama dalam pendaftaran MSTA itu.
“Saya akan ke pejabat Pesuruhjaya Sukan untuk mengambil sijil (kelulusan pendaftaran) itu minggu depan dan kami akan melihat apa-apa keperluan untuk tindakan kami dalam tempoh tertentu,” kata Presiden Penaja MSTA Shamshuzaman Sulaiman.
KK Chin percaya Pesuruhjaya Sukan akan menyokong usaha mereka untuk memungkinkan Malaysia menyertai sukan tenis ringan di Sukan SEA.
Dalam perkembangan lain, bendahari SSTA Justin Liew Vun Shin akan mewakili persatuan itu sebagai pemerhati pada Kejohanan Tenis Ringan Terbuka Taiwan pada 23-26 Januari atas permintaan Persatuan Tenis Ringan Chinese Taipei sendiri.
Sementara itu, presiden SSTA Richard Shak mengalualukan orang ramai datang menyaksikan latihan dan mencuba permainan sukan tenis ringan.
Mereka yang berminat boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi Yenny (0128253809) atau KK Chin (0128229390).