Utusan Borneo (Sabah)

Penduduk Rumah Nyambat diancam tanah runtuh

-

LUBOK ANTU: Bahagian belakang Rumah Nyambat, Lubok Kanchong di Ulu Lemanak, Lubok Antu runtuh berikutan keadaan cuaca tidak menentu sejak kebelakang­an ini.

Menurut Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Betong Henry Jugah pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 3.18 petang kelmarin.

“Bersama dua anggota, Judi Numpang dan Syderak Lagoi, kami bergerak ke lokasi yang dimaksudka­n menaiki kenderaan pacuan empat roda (4WD).

“Kami terpaksa melalui jalan balak sejauh 72 kilometer ke rumah panjang lapan pintu yang didiami 40 penghuni itu.

“Setibanya pasukan kami di tempat kejadian didapati tanah runtuh sedalam lebih 30 meter di belakang rumah panjang tersebut dan jarak dari dapur mereka hanya setengah kaki.

“Keadaan ini amat berbahaya kepada penduduk rumah panjang tersebut di mana kami difahamkan pergerakan tanah berulang sejak seminggu lalu.

“Pada masa yang sama kami telah melakukan pemantauan dan meminta penduduk rumah panjang berwaspada dengan keadaan itu.

“Kami juga telah menghubung­i Jabatan Kerja Raya( JKR) Sri Aman dan memaklumka­n tentang kejadian tersebut,” ujarnya.

Henry turut meminta penghuni rumah panjang menutup tanah runtuh menggunaka­n kanvas bagi mengelak kejadian berulang.

“Dikhuatiri runtuhan akan terus berlaku kerana keadaan cuaca pada masa sekarang yang tidak menentu, tambahan pula penempatan terbabit berdekatan sungai,” tambahnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia