LELAKI MATI DITEMBAK

Jadikan kanakkanak perempuan sebagai tebusan

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan -

TUARAN: Insiden seorang kanak-kanak yang dijadikan tebusan oleh lelaki tidak dikenali berakhir apabila suspek ditembak mati oleh polis di sebuah taman perumahan di sini pada Ahad.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, suspek yang berusia sekitar 30an itu mati di tempat kejadian kira- kira jam 5.35 petang selepas pihak polis melepaskan beberapa das tembakan.

“Pada awalnya, suspek melarikan mangsa ke salah satu flat yang ada di tingkat empat dan mengurung mangsa sambil meletakkan pisau di leher mangsa.

“Semasa rundingan, suspek enggan melepaskan kanakkanak itu dan cuba membuang kanak-kanak itu dari tingkap rumah. Namun anggota polis mengambil tindakan segera dengan melepaskan beberapa das tembakan,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian, di sini pada Ahad.

Jelasnya, kanak-kanak berusia dua tahun itu kemudian berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan susulan.

Difahamkan, kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang itu bermula apabila suspek pergi ke gerai jualan sekitar flat perumahan itu sambil membawa sebilah pisau.

Kemudian, suspek menangkap salah seorang budak perempuan yang ada di luar gerai terbabit dan membawa mangsa ke tingkat empat flat perumahan itu.

Suspek seterusnya masuk ke rumah salah seorang penghuni perumahan itu dengan bertindak memecahkan pintu dan mengarahkan pemilik rumah keluar, lalu mengurung mangsa.

Setelah itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bersama sepasukan anggota D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah tiba di tempat kejadian setelah menerima panggilan.

Bagaimanapun, usaha memujuk rayu suspek tidak membuahkan hasil dan polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan yang mengenai suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut berhubung motif suspek masih belum dapat dikenal pasti.

SUSPEK membawa kanak-kanak berusia dua tahun sambil mengacukan sebilah pisau ke leher mangsa di sebuah rumah di tingkat empat perumahan terbabit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.