Lelaki rentung dalam kemalangan kenderaan

Utusan Borneo (Sabah) - - Muka Depan - Oleh YAP SIONG HAN

KOTA KINABALU: Seorang mangsa rentung dalam satu kejadian kemalangan apabila kenderaan yang dipandu terbabas kemudian terbakar di Kampung Janang, Kuala Penyu.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian berlaku kirakira jam 2.30 pagi apabila kenderaan yang dipandu mangsa terbabas sendiri.

“Mangsa Dhyanchand Christopher Devaraj, 55, berbangsa India, dipercayai meninggal di tempat kejadian berikutan kemalangan itu.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa dari arah Kg Janang menuju ke Pekan Kuala Penyu melalui jalan Kg Janang.

“Apabila mangsa sampai di tempat kejadian, semasa menuruni bukit yang curam, tayar sebelah kanan kenderaan itu disyaki pecah sebelum mangsa hilang kawalan lalu terbabas di lereng bukit dan terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, mangsa cuba keluar dari pintu depan sebelah kiri disebabkan pintu depan sebelah kanan tersekat, namun tidak sempat keluar kerana kenderaan itu meletup.

Katanya, akibat daripada kejadian itu, mangsa rentung di bahagian tempat duduk penumpang depan dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pasukan bomba yang menerima menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu turut bergegas ke lokasi kejadian.

Operasi yang diketuai PBK II George Soikun bersama empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak membuat pemadaman dan pemeriksaan di kawasan terbakar bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain.

Kebakaran terkawal pada jam 2.53 pagi dan operasi tamat 4.53 pagi.

ANGGOTA bomba sedang mengeluarkan mangsa rentung dari kenderaan yang terbakar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.