Lelaki buruan polis ditembak mati di Sungai Petani

Utusan Borneo (Sabah) - - Tempatan -

ALOR SETAR: Seorang lelaki yang menjadi buruan polis, yang juga anggota kumpulan ‘Geng 36’, ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan di simpang Kampung Jerung, Jalan Kuala Ketil dekat Sungai Petani awal pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, SAC Mior Faridalathrash Wahid berkata dalam kejadian 5.20 pagi itu suspek berusia 28 tahun ditembak mati selepas terdahulu melepaskan beberapa das tembakan kepada pasukan polis.

“Tertuduh yang dikenali dengan gelaran [email protected] Black ini dikehendaki oleh pihak JSJ (Jabatan Siasatan Jenayah) D7 dan D9 IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kedah di atas tiga kes lampau dan adalah ahli Geng 36. Antaranya bagi kes di bawah 302 Kanun Keseksaan dan 395 Kanun Keseksaan.

“Bertindak atas Op Cantas, pasukan JSJ Kuala Muda, semasa melalui Jalan Lencongan Timur pasukan serbuan telah terserempak dengan sebuah kereta jenis Toyota Vios warna putih nombor pendaftaran palsu. Pasukan polis telah arahkan berhenti, tetapi suspek enggan bekerjasama dan memecut menghala ke Jalan Kuala Ketil.

“Sampai di simpang Kampung Jerung, Jalan Kuala ketil, kereta suspek telah terbabas di bahu jalan, kemudian suspek keluar dari kereta dan terus melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis sehingga terkena pada cermin depan. Pasukan polis membalas tembakan suspek dan selepas tembakan berhenti kita dapati satu lelaki telah ditumpaskan,” katanya kepada pemberita pada Isnin.

Mior Faridalathrash berkata polis turut menemui sepucuk pistol semi auto jenis Barretta caliber 9mm bersama kelopak dan peluru di tempat kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Katanya, mayat suspek dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebelum itu polis ada menerima laporan mengenai kes tembakan di Flat Paya Nahu, di sini yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang berlaku pada 11.15 malam Ahad.

“Ia melibatkan sebuah kereta Proton Satria 1.3 warna silver di mana cermin belakang di sebelah kanan penumpang retak akibat ditembak, siasatan awal polis menemui dua kelongsong peluru di tempat kejadian,” katanya.

Katanya, kereta itu dimiliki seorang lelaki berusia 42 tahun dan lelaki itu mengesyaki punca keretanya ditembak disebabkan perselisihan faham dengan lelaki yang dikenali dengan nama [email protected] pada dua bulan lepas.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.