Utusan Borneo (Sabah)

Letupan gas gegar tengah Paris

Dua anggota bomba dan pelancong Sepanyol maut, 47 cedera

-

PARIS: Satu letupan gas yang sangat kuat di sebuah bangunan menggegark­an tengah Paris kelmarin, mengorbank­an seorang wanita Sepanyol dan dua anggota bomba yang dianggap sebagai wira oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Beberapa orang lagi tercedera dalam letupan yang turut memusnahka­n beberapa pangsapuri berhampira­n, menurut pihak berkuasa.

Kira-kira 200 anggota bomba dikerah memadamkan kebakaran yang berlaku selepas letupan itu serta memindahka­n mangsa dan penduduk di kawasan tersebut, Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner memberitah­u wartawan di tempat kejadian.

Letupan muncul ketika bandar berada dalam kemelut bantahan antikeraja­an ves kuning terbaharu, yang sering bertukar menjadi keganasan dan vandalisme di Paris dan bandar-bandar lain sejak beberapa minggu ini.

Beberapa kereta remuk dan terbalik akibat letupan manakala serpihan kaca serta runtuhan mengotori jalan raya selepas letupan tersebut memusnahka­n bahagian bawah bangunan.

Beberapa penduduk menerima rawatan daripada pekerja penyelamat di atas jalan raya.

“Saya sedang tidur dan dikejutkan gegaran letupan,” kata Claire Sallavuard, yang menetap di Rue de Trevise di mana letupan berlaku.

“Semua tingkap di pangsapuri pecah, pintu-pintu tercabut, saya terpaksa berjalan di atas pintu untuk keluar dari bilik, semua kanak-kanak berada dalam keadaan panik, mereka tidak dapat keluar dari bilik mereka.

“Anggota bomba menasihatk­an kami agar keluar namun perkhidmat­an lif tidak dapat digunakan, tiada susur tangga dan terlalu banyak asap,” kata beliau.

Selain tiga kematian, 47 orang tercedera dalam letupan itu, 10 daripadany­a parah, menurut pejabat pendakwa raya Paris.

Dua anggota bomba yang meninggal dunia berusia 27 dan 28 tahun, tambahnya.

Sumber dari kementeria­n luar Sepanyol menyatakan seorang wanita yang sedang bercuti bersama suaminya di Paris telah meninggal dunia di hospital selepas letupan itu, sementara seorang lagi rakyat Sepanyol turut tercedera.

Macron menyatakan dalam Twitter ucapan takziahnya kepada keluarga dan rakanrakan dua wira anggota bomba serta semua mangsa.

Kira-kira 100 anggota polis menyekat beberapa batang jalan raya di kawasan tersebut yang dipenuhi restoran dan tarikan pelancong termasuk muzium lilin Musee Grevin dan Rue des Martyrs yang terkenal.

Pihak polis turut menutup jalan raya di depan rumah Garnier Opera ketika perkhidmat­an kecemasan mendaratka­n dua helikopter di depan bangunan bersejarah bagi memindahka­n mangsa.

Letupan berlaku sejurus selepas jam 9 pagi di sebuah bangunan yang menempatka­n sebuah bakeri dan sebuah restoran di tingkat bawah.

“Kejadian berlaku ketika terdapat orang awam di jalan raya dan anggota bomba berada di dalam,” menurut menteri dalam negeri.

Punca kejadian dikatakan sebagai satu kemalangan, namun pada peringkat ini pihak berkuasa tidak menolak sebarang hipotesis, tambah pendakwa raya umum Paris Remy Heitz.

Gegaran dirasai sejauh empat blok, jelas Komander Eric Moulin daripada perkhidmat­an bomba Paris sambil menambah kata bahawa anggota penyelamat masih mencari mangsa lain yang dikhuatiri tertimbus.

Anggota bomba memberikan respons kepada satu makluman mengenai kebocoran gas di kawasan itu ketika letupan berlaku, kata pendakwa raya Paris Heitz berkata di tempat kejadian.

“Pertama, kebocoran gas berlaku dan anggota bomba tiba, kemudian berlaku satu letupan yang menyebabka­n kebakaran,” kata beliau.

Beberapa pelancong yang membawa bagasi telah dipindahka­n dari kebanyakan hotel berhampira­n kawasan tersebut.

Penduduk tempatan pula masih memakai jubah mandi atau berpakaian ringkas di jalan raya ketika helikopter polis berlegar di ruang udara.

Seorang lelaki berkaki ayam di jalan raya, rambutnya keputihan akibat debu dan puing.

Seorang wanita tua pula masih memakai baju tidur dan jubah terpaksa dipindahka­n dari pangsapuri tingkat dua dengan menggunaka­n tangga bomba.

Banyak rumah dan bangunan di Paris menggunaka­n gas untuk pemanasan dan memasak, walaupun letupan disebabkan oleh kebocoran jarang berlaku. — AFP

 ??  ?? KEADAAN di tempat kejadian menunjukka­n puing dan kereta remuk susulan letupan di sebuah bangunan menempatka­n bakeri dan restoran di penjuru simpang Saint-Cecile dan Rue de Trevise di tengah Paris. — Gambar AFP
KEADAAN di tempat kejadian menunjukka­n puing dan kereta remuk susulan letupan di sebuah bangunan menempatka­n bakeri dan restoran di penjuru simpang Saint-Cecile dan Rue de Trevise di tengah Paris. — Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia