Israel dan Gaza berbalas serangan roket lagi

Utusan Borneo (Sabah) - - Global -

BAITULMAQDIS: Pejuang Palestin di Semenanjung Gaza melepaskan tembakan roket ke kawasan yang dijajah rejim Israel lewat kelmarin, menurut rejim yang mendakwa kemudian bertindak melancarkan serangan balas ke atas wilayah tersebut yang dikuasai Hamas ketika ketegangan memuncak selepas sehari lagi pertempuran ganas di sempadan.

“Sebelum itu malam tadi, sebutir roket telah dilancarkan dari Gaza ke arah wilayah Israel.

“Sebagai respons, jet pejuang IDF telah menyasarkan dua struktur bawah tanah Hamas di Semenanjung Gaza,” menurut Pasukan Pertahanan Israel dalam Twitter.

“Kami akan terus beroperasi bagi mempertahankan orang awam Israel,” tambahnya.

Dua sasaran di Kota Gaza diserang Israel dan tiada sesiapa yang tercedera, menurut pasukan keselamatan di Gaza.

Pertempuran berlaku sehari selepas seorang wanita Gaza ditembak mati anggota tentera Israel semasa menyertai bantahan mingguan dan pertempuran di sepanjang sempadan Gaza.

Kementerian kesihatan menamakan mangsa sebagai Amal al-Taramsi, 43, menyatakan beliau adalah wanita ketiga yang terkorban sepanjang pertempuran beberapa bulan yang telah melihat sekurang-kurangnya 241 rakyat Palestin maut.

Seramai 25 rakyat Palestin tercedera di sepanjang sempadan Israel dalam keganasan pada Jumaat lepas.

Pihak tentera Israel menyatakan bahawa kira-kira 13,000 rakyat Palestin telah berkumpul di beberapa kawasan di sepanjang sempadan.

“Perusuh membakar tayar dan melontar batu, bahan letupan dan bom tangan ke arah pasukan tentera Israel dan ke arah pagar keselamatan Semenanjung Gaza,” menurut satu kenyataan tentera.

Pihak tentera turut menyerang dua kedudukan yang dimiliki Hamas di Gaza pada Jumaat lepas, jelasnya.

Sekurang-kurangnya sekali seminggu sejak Mac, pihak Palestin mengambil bahagian dalam bantahan yang selalunya ganas dengan sokongan daripada Hamas.

Kebanyakan rakyat Palestin mati ditembak dalam pertempuran mingguan, namun yang lain-lain lagi terkena bedilan kereta kebal atau serangan udara.

Bantahan menjadi tenang sejak beberapa bulan lepas di sebalik perjanjian tidak rasmi antara rejim dan Hamas.

Di bawah perjanjian itu, Israel membenarkan Qatar untuk memberikan wang dan minyak kepada kerajaan Hamas di Gaza.

Satu penghantaran yang dijangkakan bagi dana baharu daripada Qatar tidak tiba minggu ini, mencetuskan spekulasi rejimIsrael telah menahannya.

Pada Isnin lepas, sebutir roket telah ditembak dari Gaza mengenai Tel Aviv yang kemudian melancarkan siri serangan udara terhadap Hamas di enklaf Palestin. — AFP

ANAK dan ahli keluarga Taramsi menangis semasa majlis pengebumiannya di Kota Gaza.— Gambar AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.