Muhyiddin kemuka rayuan kekalkan KSU

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengakui beliau yang mengemukakan rayuan agar Datuk Seri Alwi Ibrahim dikekalkan sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu.

Katanya, beliau dapat bekerja dengan baik bersama Alwi sejak menerajui Kementerian Dalam Negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Ya, itu adalah rayuan saya. Saya lihat tiada masalah dengan beliau.

“Saya baru (di KDN), jadi memerlukan orang sudah lama untuk bantu di kementerian. Saya ucapkan terima kasih kepada pihak beri kelulusan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2019 Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. Alwi yang turut hadir pada sidang media itu kelihatan tersenyum.

Alwi sebelum ini dilaporkan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya yang baharu susulan rombakan besar-besaran jawatan tinggi kerajaan awal bulan ini.

Tempat beliau sepatutnya digantikan oleh Datuk Dr Mohd Ghazali Abas yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan.

Mengenai ‘pertukaran’ pelantikan Ketua Pengarah Imigresen yang baharu, Muhyiddin berkata kebiasaanya jika berlaku kekosongan jawatan agensi, menteri akan diminta untuk mengemukakan cadangan nama.

“Saya tidak tahu ada pegawai lain yang buat apa, jadi keluar nama lain.

“Kemudian bila saya kemukakan nama baharu, barulah mereka bersetuju,” katanya.

Ahad lepas, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan pelantikan Datuk Khairul Dzaimee Daud sebagai Ketua Pengarah Imigresen baharu. Khairul, 47, sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KDN, Datuk Jamil Rakon dilaporkan dilantik sebagai Ketua Pengarah Imigresen yang baharu dan berikutan perkembangan itu, Jamil dikekalkan di jawatan itu.

Jawatan Ketua Pengarah Imigresen kosong setelah penyandangnya sebelum ini, Datuk Seri Mustafar Ali dilantik sebagai Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional berkuatkuasa 2 Jan lepas. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.