Calon Bebas Wong Seng Yee desak siasatan segera dakwaan kegiatan beri wang

Utusan Borneo (Sabah) - - Nasional -

TANAH RATA: Calon Bebas bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, Wong Seng Yee mendesak pihak berwajib melakukan siasatan segera berhubung dakwaan kegiatan memberi wang kepada Orang Asli oleh jentera sebuah parti politik yang tular dalam media sosial sejak semalam.

Wong, 41, berkata jika benar dakwaan itu, ia amat mengecewakan.

Beliau berharap semua calon dapat melaksanakan kempen selama dua minggu ini secara bersih, amanah dan lancar.

“Namun jika benar, saya kecewa dan berharap pihak berkuasa dapat ambil tindakan agar perkara sama tidak berulang pada pilihan raya lain,” katanya ketika ditemui selepas membawa wakil media melawat ladang bunga kekwanya di Habu dekat sini pada Isnin.

Ditanya mengenai kemungkinan cenderung memihak kepada kerajaan Pakatan Harapan berikutan isu melibatkan tanah yang dibawanya adalah hampir sama dengan Manogaran, kata Wong beliau tidak memihak kepada sesiapa dan hanya berseorangan dalam kempennya.

Katanya, soal peribadi kecewa terhadap kerajaan yang gagal menangani isu tanah dan sebagainya tidak timbul dan apa yang penting adalah beliau terpanggil untuk membawa suara golongan petani didengari hingga peringkat atasan.

“Saya ada ramai rakan dari PH, DAP dan PKR dan begitu juga di pihak pembangkang BN iaitu MCA dan UMNO.

“Saya bertanding dalam PRK ini atas inisiatif sendiri untuk membawa suara golongan pekebun di sini setelah melihat kekurangan dan kelemahan sebelum ini apabila suara petani tidak sampai ke pihak yang sepatutnya,” katanya.

PRK Parlimen Cameron Highlands berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi awal 22 Jan dan hari pengundian 26 Jan. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.