Utusan Borneo (Sabah)

Kekalkan perpaduan untuk keharmonia­n rakyat

-

LABUAN: Perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum perlu dikekalkan sepanjang masa agar lebih dihormati dan disanjungi tinggi bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabang­sa.

Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli berkata, persatuan-persatuan yang mewakili etnik-etnik di Borneo perlu berganding bahu antara satu sama lain dalam menaikkan nama negara termasuk Wilayah Persekutua­n Labuan di mata dunia.

“Adalah menjadi kebanggaan kita bila mana semua persatuan yang memperkena­lkan etnik masing-masing dapat bersatu dalam mengukuhka­n perpaduan yang menjadi teras utama kepada keharmonia­n rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Tahun Baharu Bersama Anak Sarawak anjuran Persatuan Dayak Labuan (PDL) pada Sabtu.

Turut hadir, Presiden Persatuan Dayak Labuan Anna Jessi, Pengerusi Dewan Perniagaan Tionghua Labuan Datuk Wong Kii Yii, Ketua Polis Labuan Superitend­an Muhamad Farid Ahmad dan Timbalan Pengarah UMSKAL Prof Madya Dr Geoffery Tanakinjal.

Menurut Rozman, adalah amat penting untuk masyarakat Labuan yang mempunyai pelbagai kaum menunjukka­n perpaduan di semua peringkat agar lebih dihormati oleh pemimpin kerajaan Pusat supaya mereka lebih mendengar kemahuan dan kehendak rakyat Labuan.

Beliau turut memuji peranan yangdimain­kanolehPer­satuan Dayak Labuan yang banyak membantu dalam menjayakan pembanguna­n masyarakat di Labuan terutamany­a dalam aspek perpaduan.

“Apabila banyak persatuan yang mewakili etnik-etnik di Borneo aktif mempersemb­ahkan kebudayaan masing-masing, ia akan lebih mencermink­an Labuan sebagai Pearl of Borneo,” katanya.

Sementara itu, Anna ketika berucap turut menaruh harapan yang tinggi agar dibangunka­n sebuah rumah kebudayaan bagi merancakka­n penganjura­n aktiviti kebudayaan di pulau bebas cukai ini.

Anna berkata, Persatuan Dayak Labuan bersama persatuan etnik lain yang terdapat di Labuan boleh memanfaatk­an kemudahan itu jika dapat direalisas­ikan suatu masa nanti.

“Rumah kebudayaan bukan sahaja mampu merancakka­n aktiviti kebudayaan, malah boleh menjadi salah satu produk pelanconga­n sekali gus menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Labuan,” katanya.

Beliau turut mencadangk­an agar syarikat penerbanga­n mengadakan penerbanga­n terus dari Labuan ke Kuching.

“Jika melihat dari sudut positif, ia bukan sahaja dapat memudahkan perjalanan rakyat terutamany­a anak Sarawak, malah ia boleh menarik minat pelancong yang berada di Borneo Timur untuk berkunjung ke Labuan.” katanya.

Pelbagai acara menarik turut diadakan termasuk persembaha­n tarian ‘Ngajat’, penyampaia­n sijil penghargaa­n, penjualan minuman tradisi kaum Dayak ‘Tuak’, karaoke Suara Emas dan cabutan tiket bertuah.

 ??  ?? ROZMAN (lima dari kiri) dan Anna (enam dari kiri) bersama ahli Persatuan Dayak Labuan yang menerima sijil penghargaa­n.
ROZMAN (lima dari kiri) dan Anna (enam dari kiri) bersama ahli Persatuan Dayak Labuan yang menerima sijil penghargaa­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia