Utusan Borneo (Sabah)

Dua lelaki warga asing didenda RM2,000 cari pelanggan pusat pelacuran

-

PETALING JAYA: Dua pekerja kilang warga Bangladesh masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa atas pertuduhan mencari pelanggan bagi maksud pelacuran, dua tahun lalu.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhka­n hukuman itu terhadap Sariful Islam dan Atikur Rahman, kedua-duanya berusia 26 tahun selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Bengali ke atas mereka.

Mahkamah turut memerintah­kan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya denda gagal dibayar.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka bersama-sama dua lagi yang telah dijatuhi hukuman, didapati telah mencari langganan bagi maksud persundala­n di premis persundala­n itu di Pusat Perdaganga­n BS, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, pada 10 malam, 27 Okt 2017.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis telah membuat serbuan di tempat kejadian dan mendapati dua lelaki (kedua-dua tertuduh) yang menjaga pintu premis persundala­n itu sedang mencari pelanggan dengan cara menawarkan, mengajak dan mengutip wang pelanggan yang diperoleh melalui aktiviti tersebut.

Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu adalah 10 keping kondom, dua tiub pelincir, keratan kertas yang mengandung­i bayaran khidmat seks serta wang tunai bernilai RM780, di mana pelanggan pusat pelacuran tersebut kebanyakan­nya terdiri daripada pekerja warga asing.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhka­n hukuman sesuai mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan merupakan antara punca masalah sosial dan rumahtangg­a di negeri ini.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia