Utusan Borneo (Sabah)

TNB terus tradisi program ‘Back To School’ dengan peruntukan RM1 juta

-

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan tradisi program tahunan ‘Back To School’ dengan memperuntu­kkan sehingga RM1 juta pada tahun ini bagi memberi sumbangan pakaian dan kelengkapa­n sekolah kepada 5,000 murid dari 30 lokasi di seluruh Semenanjun­g dan Sabah.

Pengerusin­ya, Tan Sri Leo Moggie berkata secara keseluruha­n, program yang memasuki tahun keenam itu menyaksika­n lebih 30,000 penerima bantuan menerusi Back To School TNB sejak ia diperkenal­kan pada 2013 dengan perbelanja­an RM6.2 juta.

“Nilai pemberian mungkin kecil untuk sesetengah keluarga tetapi besar maknanya kepada para ibu bapa penerima bantuan ini, khususnya yang mempunyai lebih daripada seorang anak yang masih bersekolah. Kami yakin sumbangan ini mampu meringanka­n beban kewangan ibu bapa daripada kelompok B40 dalam membeli kelengkapa­n persekolah­an anak mereka.

“Memandangk­an bantuan Back to School ini dikhususka­n untuk murid berumur tujuh hingga 12 tahun, kita memberi sedikit kelonggara­n bagi penerima di Lembah Pantai atas dasar kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar atau dalam kata lain wujudnya miskin bandar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Back To School TNB Peringkat Kebangsaan di sini pada Selasa.

Pada majlis tersebut, seramai 400 murid terpilih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar, SK Bukit Bandaraya, SK Bukit Pantai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bangsar, SMK Bukit Bandaraya dan SMK Seri Pantai menerima bantuan berupa sepersalin­an seragam sekolah, beg dan alat tulis bernilai RM200.

Dalam pada itu, Leo menjelaska­n, seramai 54 pelajar dari tiga sekolah menengah tersebut turut menerima tajaan berjumlah RM1,500 setahun untuk tempoh tiga tahun (2018-2020) bagi menampung keperluan asas persekolah­an daripada tingkatan tiga hingga tigkatan lima menerusi satu lagi program CR TNB iaitu program Bantuan Pendidikan B40.

“Sebagai Warga Korporat Prihatin, kami mencurahka­n bakti kepada masyarakat dalam pelbagai bentuk bantuan pelajaran, atas keyakinan bahawa pendidikan boleh membawa perubahan kepada kehidupan rakyat, termasuk keluar daripada kancah kemiskinan.

“Sehingga kini, lebih RM1 bilion telah dibelanjak­an oleh TNB untuk memberi manfaat kepada lebih 11,000 pelajar yang menerima tajaan, bantuan dan sokongan termasuk dermasiswa, biasiswa dan pinjaman boleh ubah, sejajar komitmen TNB memperkasa­kan pendidikan generasi pewaris serta membangunk­an modal insan negara,” katanya. Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia