Utusan Borneo (Sabah)

Kelantan lubuk lahirkan pemain badminton yang perlu dijaga

-

KOTA BHARU: Kelantan diibaratka­n sebagai ‘lubuk’ melahirkan pemain badminton berprestij yang mampu memberikan sumbangan kepada arena sukan di dalam dan luar negara walaupun pada masa sama Persatuan Badminton Kelantan (PBK) berdepan masalah kewangan dan aspek kemudahan yang berkualiti.

Presiden PBK, Dr Naharuddin Hashim berkata dengan kekangan yang ada, pihaknya selama ini mampu melahirkan bakat mewakili negara sehingga ada yang ditawarkan sebagai jurulatih dan pengarah teknikal untuk negara luar.

Justeru, nilai yang ada pada Kelantan perlu dipandang serius oleh pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri untuk terus membantu PBK melahirkan jaguh badminton di peringkat kebangsaan dan antarabang­sa.

“Sekiranya negeri ini mempunyai stadium badminton khusus dan pusat latihan berprestij kami yakin negeri ini menjadi tumpuan luar sebagai tempat melahirkan pemain-pemain yang berprestas­i tinggi.

“Kekurangan kemudahan tidak melemahkan kita untuk melahirkan nama-nama besar di peringkat dunia seperti Muhammad Hafiz Hashim, Muhammad Roslin Hashim, Phua Ah Pua,” katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Untuk rekod, pencapaian yang perlu dibanggaka­n oleh rakyat negeri ini adalah melalui Muhammad Hafiz yang berjaya muncul Juara Seluruh England pada 2003.

Naharuddin berkata PBK bermula era 60-an telah berjaya menjadi kuasa utama badminton negara pada awal 90-an melalui Allahyarha­m Hashim Ikhsan (bapa Muhammad Roslin), Koo Ji Teck dan beberapa pemain lain.

“Kita tidak mahu pontensi yang ada di negeri ini dipersiasi­akan dengan tanggapan sukan ini tidak boleh pergi jauh dan tidak mempunyai masa depan,” katanya.

Beliau berkata negeri ini bukan hanya melahirkan bakatbakat pemain, namun turut melahirkan bakat jurulatih yang berkhidmat di luar negara seperti Brunei, Kanada, Amerika Syarikat, Hong Kong dan China.

“Phua Ah Hua pula adalah bekas Pengarah Teknikal di Persatuan Badminton Brunei (Brunei BA), Mohamad Izuan Ibrahim pernah berkhidmat di Jepun sehingga berjaya mengasah bakat pemain Jepun, Momota Kento menjadi antara pemain berjaya di peringkat antarabang­sa termasuk menjuarai Piala Thomas pada 2014,” katanya.

Katanya sehubungan itu, sokongan penaja dan kerajaan negeri amat ditagih untuk mencari seberapa ramai pemain pelapis yang akhirnya boleh mewakili negara.

“Ketika ini dua pemain di negeri ini iaitu Chan Wen Tse, 13, dan Haikal Nazri, 16, berada dalam pasukan junior kebangsaan yang mampu menaikkan nama Kelantan dan negara,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia