KKM rampas 11 jenis produk tradisional Cina tidak berdaftar bernilai RM7.4j
KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) merampas 11 jenis produk tradisional Cina yang tidak berdaftar bernilai RM7.4 juta di sini.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, rampasan itu hasil pemeriksaan di pintu masuk Pelabuhan Senari Kuching.
Ia seterusnya membawa kepada satu serbuan yang dilakukan pada 8 Januari di gudang penyimpanan.
“Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah menemui sejumlah lebih 100,000 kotak produk-produk tidak berdaftar,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.
Kesemua produk itu dipercayai didalangi oleh sindiket dan dibawa masuk secara tidak sah untuk pasaran domestik khususnya di Sarawak, jelasnya.
Kementerian itu sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap semua pihak yang terlibat dalam sindiket terbabit dan akan mengambil tindakan tegas.
Individu atau syarikat yang didapati terlibat menjual produk-produk berkenaan akan disiasat di bawah Akta Jualan Dadah 1952.
Jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya.
Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.
KKM juga memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat yang mempunyai stok produk ini agar menghentikan penjualan, pengedaran atau penggunaannya dengan serta-merta memandangkan produk tersebut tidak terjamin daripada segi kualiti dan keselamatannya.
KKM juga menyarankan orang ramai untuk menyemak status pendaftaran sebelum membeli sesuatu produk kesihatan.
Produk kesihatan berdaftar boleh dikenal pasti dengan meneliti ciri-ciri seperti nombor pendaftaran MAL serta label Hologram Meditag pada pembungkusannya.