Grant Thornton Malaysia sumbang 27 peratus pertumbuhan pada 2018
KUALA LUMPUR: Grant Thornton Malaysia, firma anggota Grant Thornton International Ltd, menyumbang pertumbuhan positif kepada kumpulan itu dengan mencatatkan perolehan 27 peratus pada 2018.
Rakan Kongsi Urusan bagi Negara Grant Thornton Malaysia, Datuk Narendra Jasani berkata pertumbuhan positif itu menunjukkan kekukuhannya sebagai rangkaian global, serta, gabungan firma anggota yang dedikasi untuk menjadi firma perkhidmatan profesional generasi akan datang.
“Kami yakin terhadap prestasi pertumbuhan global kami, begitu juga firma milik kami di Malaysia.
“Di Malaysia, kami telah menambah jumlah pelanggan dan meningkatkan tenaga kerja di semua pejabat kami,” katanya dalam kenyataan.
Narendra berkata Grant Thornton Malaysia memperkukuh kedudukannya di wilayah selatan susulan gabungan pejabat di Johor Bahru dengan M.S. Wong & Co. pada September 2018.
“Pejabat Johor Bahru kini dikenali sebagai Grant Thornton MSW dengan 80 kakitangan, menjadikan Grant Thornton sebagai antara firma audit, cukai dan khidmat nasihat terbesar di negeri itu.
“Kami merupakan akauntan pelaporan bagi satu daripada hanya dua syarikat tersenarai di papan utama di Bursa Malaysia pada 2018,” katanya.
Beliau berkata, pertumbuhan lebih baik juga disumbangkan oleh perkhidmatan nasihat syarikat itu khususnya dalam khidmat penerima dan pengurus.
“Ini bukti bahawa walaupun berdepan tempoh mencabar, kami masih menjadi penasihat yang dipercayai pelanggan atas keupayaan luas kami,” katanya. — Bernama