MNS harap kepentingan alam sekitar tidak diketepi
KUALA LUMPUR: Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berharap lima kementerian berkaitan tidak mengetepikan kepentingan memulihara alam sekitar dalam membincangkan jalan penyelesaian isu pengimportan sisa plastik ke negara ini.
Presidennya Prof Dr Ahmad Ismail berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim; Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Kesihatan dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi perlu mencapai kata sepakat agar isu sisa plastik tidak terus berlarutan.
Katanya,keputusankerajaan untuk mengenakan caj kepada setiap tan sisa plastik bagi menjana pendapatan negara adalah baik namun pada masa sama perhatian perlu diberikan kepada soal pencemaran alam sekitar yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.
“Apa faedah kepada negara kalau kita dapat duit tapi pada masa sama kita dapat pencemaran kecuali kita ada teknologi yang boleh membendung kesan sisa itu kepada alam sekitar dan kesihatan.
“Negara masih mengamalkan tapak pelupusan sampah yang biasa. Teknologi terkini tentang pelupusan sampah perlu diperkenalkan. Kita perlu jelas arah tuju pengurusan sisa pepejal negara,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.
Katanya isu sebenar ialah isu sampah dan pencemaran justeru fi dan caj yang dikenakan kepada sisa plastik import tidak membantu menyelesaikan masalah kerana langkah itu membenarkan kemasukan sampah ke dalam negara. - Bernama