Persiapan penjualan tiket Liga Malaysia diperkemas
KOTA KINABALU: Persiapan dari segi penjualan tiket dan keselamatan pintu masuk bagi menyaksikan Liga Malaysia di Stadium Likas musim ini diperkemaskan.
Stadium Likas kekal sebagai venue utama skuad Liga Premier Sabah musim ini.
Jawatankuasa Tiket dan Keselamatan Pintu Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) yang dipengerusikan Jackson Taguah telah bermesyuarat mengenai perkara itu di pejabat Safa di MAKSAK, Likas pada Rabu.
“Persiapan di bawah jawatankuasa kami berjalan lancar. Tidak banyak perubahan berbanding musim lalu, cuma ada beberapa aspek kami perkemaskan.
“Penjualan tiket antara yang diberi perhatian bagi memastikan tiada ketirisan dan pergerakan masuk keluar penonton selesa,” kata Jackson.
Beliau berharap penonton juga memberi kerjasamaagarperlawananperlawanan di Stadium Likas nanti dapat disaksikan dengan selesa dan meriah.
Sambil itu, harga tiket akan diumumkan minggu depan jika ada perubahan berbanding RM20 untuk kawasan tempat duduk berbumbung dan RM10 untuk tempat duduk di kawasan terbuka.
Turut bersama pada mesyuarat itu ialah Setiausaha Eksekutif Safa merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa, Pegawai Keselamatan PTR Mustapha Tuah dan Ketua Operasi Majid Madarin.
Turut hadir ialah wakil dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pengurus Stadium Likas Wilfred B Young.