Mahkamah Venezuela penjara 12 ejen perisikan
Kerana ‘salah guna kuasa, sekat kebebasan secara tidak sah’ dalam penahanan seketika presiden parlimen
CARACAS: Seramai 12 ejen perisikan telah dihantar ke penjara oleh mahkamah di Venezuela pada Rabu berhubung penahanan seketika presiden parlimen Juan Guaido, kata sumber kehakiman.
Mahkamah Caracas menahan reman ejen-ejen tersebut dalam penahanan pra-perbicaraan selepas mereka dituduh “menyalahguna kuasa, mengehad kebebasan secara tidak sah, dan bersekongkol untuk melakukan jenayah”.
Guaido sedang menuju ke satu perhimpunan politik di luar ibu negara Venezuela pada Ahad lepas apabila keretanya dihentikan di sebatang lebuh raya dan beliau ditahan seketika oleh ejen SEBIN.
Kerajaan Presiden Nicolas Maduro menafikan tahumenahu tentang operasi itu dan pada mulanya mendakwa empat ejen yang terlibat sudah dipecat.
Maduro melabel seluruh insiden itu sebagai “sarkas media” dan menuduh ejen terbabit berkonspirasi dengan pembangkang di Venezuela.
Sementara itu Guaido membalas dengan mengejek Maduro dan mempersoalkan kuasanya ke atas agensi keselamatan negara.
“Jadi Maduro tidak lagi menguasai angkatan tentera kerana rantaian perintah sudah putus,” kata Guaido.
“Siapakah memerintah rejim sekarang? Jika mereka sudah mengakui mereka tidak menguasai agensi keselamatan negara, terdapat masalah yang serius di Miraflores,” tambahnya yang merujuk kepada istana presiden.
Guaido selama ini cuba menarik sokongan daripada angkatan tentera tatkala beliau mengetuai usaha pembangkang untuk menyingkirkan Maduro dari kuasa dan menubuhkan kerajaan peralihan.
Namun Maduro masih menerima sokongan daripada barisan kepimpinan angkatan tentera, yang pada minggu lepas menjanjikan “kesetiaan mutlak”.
Guaido menjanjikan “pengampunan am” bagi manamana anggota tentera yang menolak Maduro dan mengumumkan protes rakyat pada minggu depan.
Dewan Negara, yang dikuasai pembangkang dan diketuainya, lumpuh sejak Mahkamah Agung yang penuh dengan hakim yang setia kepada Maduro melucutkan semua kuasanya pada 2017. — AFP