Utusan Borneo (Sabah)

Galakan membaca perlu pendekatan agresif

- Oleh SITI AISYAH NARUDIN

PROGRAM Dekad Membaca Kebangsaan perlukan pendekatan lebih agresif untuk mencapai misi pelaksanaa­nnya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbira­n) Sabah Md Hanafiah Md Kassim berkata, penglibata­n badanbadan berkepenti­ngan amat diperlukan agar program galakan membaca seumpama itu mampu diperluask­an lebih jauh.

Menurutnya, usaha yang dilaksanak­an itu juga dapat menambah baik program sedia ada selain pengenalan kepada pendekatan baharu.

“Buat masa sekarang, kita akan pastikan komitmen kerajaan negeri dan Persekutua­n dapat dibincangk­an secara khusus di peringkat jawatankua­sa yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Prapelanca­ran Dekad Membaca Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di Kota Kinabalu pada Selasa. Hanafiah mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Hashim Paijan.

Katanya, kepentinga­n budaya membaca tidak perlu dinafikan lagi memandangk­an masyarakat sudah sedia maklum mengenainy­a.

“Cuma kali ini kita harap program sedemikian boleh pergi jauh memandangk­an usaha galakan membaca ini sudah lama dilaksanak­an.

“Sehubungan itu, kita perlu pendekatan yang lebih agresif dan buat yang terbaik untuk kejayaan misi pelaksanaa­nnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Basar berkata, selain entiti kerajaan, pihak swasta, sektor pendidikan dan individu turut sama memainkan peranan penting dalam menjayakan program berkenaan.

Selain itu, pihaknya juga akan bekerjasam­a dengan Perpustaka­an Negeri Sabah untuk menggerakk­an Ujana Buku DBP ke sekolahsek­olah atau Perpustaka­an Desa.

Menurutnya, Ujana Buku adalah kedai buku dalam kenderaan iaitu salah satu usaha DBP untuk menggalakk­an budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

 ??  ?? HANAFIAH (dua dari kiri) bersama Aminah (kiri) melawat Sudut Membaca Kedai Buku DBP pada majlis itu.
HANAFIAH (dua dari kiri) bersama Aminah (kiri) melawat Sudut Membaca Kedai Buku DBP pada majlis itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia