SELESAIKAN SEGERA: KM
Arahan kepada tiga menteri berhubung isu kelewatan pelantikan pemimpin adat
TAWAU: Tiga menteri diarah supaya segera menyelesaikan isu kelewatan pelantikan pemimpin adat sebelum akhir bulan ini, termasuk berkaitan pelantikan orang Bugis (dan kaum setaraf dengannya) sebagai Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung.
Ketiga-tiga menteri yang bertanggungjawab terdiri daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong, serta Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick bersama Menteri UndangUndang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Aidi Moktar.
Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kerajaan melihat wujud keperluan untuk memastikan proses pelantikan pemimpin adat dipercepatkan.
Termasuklah, semakan tafsiran Bab 64 Ordinan (Pengertian) Anak Negeri (1952 Pindaan 1992) berkaitan pengeluaran Sijil Anak Negeri yang dibekukan pada 1982.
“Kita boleh buat (semakan semula ordinan dan melantik orang Bugis serta kaum setaraf dengannya untuk mengisi jawatan pemimpin adat), bukan tidak boleh buat.
“Kalau masyarakat Cina boleh dilantik menjadi kapitan masyarakat mereka, kenapa pula orang Bugis (misalnya) tidak boleh dilantik menjadi ketua masyarakatnya?
“Kita tahu undangundang, bukan mahu melanggar undangundang, tetapi jangan pula menidakkan (hak) suku kaum Bugis (contohnya) untuk ‘mendapat tempat’,” katanya.
Shafie berkata demikian semasa berucap dan ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Pembantu Menteri Jabatan Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Tanjung Datuk Jimmy Wong di sini, Sabtu.
Ditanya berhubung kecenderungan pihak tertentu seperti pemimpin parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan sentimen perkauman pula, beliau akui bimbang dengan perkembangan terbabit.
“Saya bimbang kadangkadang kalau kita kata suku kaum Bugis tidak boleh jadi ketua untuk masyarakat mereka sendiri, (sedangkan) orang Sino pula boleh,” katanya.
Beliau berharap rakyat sentiasa meningkatkan hubungan perpaduan dan kesatuan yang ada serta menumpukan usaha ke arah meningkatkan persefahaman bersama.
Pada masa sama, beliau akui ada pihak tertentu heboh sehingga mahu mengadakan demonstrasi apabila orang Bugis hendak dilantik menjadi Ketua Anak Negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya difahamkan golongan yang tidak berpuas-hati berkaitan isu itu dikatakan datangnya daripada parti-parti pembangkang.
“Kita perlu sedar, keluarga kita ada Bugis, begitu juga Bajau dan Dusun, semua orang Sabah, malah, Sino bukan Anak Negeri tapi kita boleh lantik Ketua Anak Negeri.
“Jadi kenapa Bugis tidak boleh ada wakilnya? Sedangkan ramai Wakil Rakyat orang Bugis?
Kita perlu cari kaedah (pemurnian) untuk mengatasi masalah (yang timbul).
“Kita kena saling menghormati antara satu sama lain, kita bukannya datang dari satu tempat dan seharusnya sedar, keupayaan seseorang bukan diukur dari kaumnya.
“Tetapi dari segi kemampuan perkhidmatan mereka, malah, bekas-bekas Ketua Menteri di Sabah juga terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.
Beliau percaya perkara paling mustahak adalah penyelesaian masalah bukannya menghangatkan sentimen perkauman sehingga menjadi punca perbalahan rakyat.
“Kalau kerajaan tidak jaga kaum lain dan hanya mementingkan keluarga, maka lain kali mereka tidak akan mengundi kita, (ingat) kita sudah lama hidup bersama-sama.
“Kita tidak boleh mementingkan kaum kita semata-mata, malah, begitu juga kita tidak boleh hanya mementingkan daerah (tempat tinggal) kita sematamata,” katanya.