Utusan Borneo (Sabah)

Tuhau produk hiliran dapat tempat di hati pelancong

-

JIKA anda peminat bunga kantan, pasti anda akan suka aroma tuhau, keduanya termasuk dalam keluarga seperti lengkuas dan halia, mempunyai fizikal yang sama, berdaun lebar dan panjang.

Seperti pokok kantan, tuhau biasanya banyak tumbuh di kawasan yang lembap dan redup, ia boleh dilihat subur di kawasan yang terlindung, tepi sungai dan tanah rendah serta mudah dan banyak boleh ditemukan di kawasan pedalaman Sabah terutamany­a di daerah Keningau, Tambunan, Tenom, Ranau dan juga Nabawan.

Dikenali sebagai makanan tradisi suku Kadazan-Dusun, tuhau yang muda sebenarnya boleh disediakan pelbagai cara, selain ditumis bersama cili putih dan ikan bilis serta dimakan bersama nasi, ia juga boleh dijadikan jeruk, serunding ataupun sambal.

Kalau mahukan tuhau yang muda dan lembut, ambil anak pokok tuhau yang masih kecil dan elakkan cabut pokok yang sudah agak tinggi kerana batang dan umbutnya yang keras bermaksud pokoknya sudah tua dan tidak boleh dimakan.

Jika berkunjung ke Sabah, tuhau kini merupakan antara produk makanan hiliran yang dicari untuk dijadikan buah tangan dan semakin mendapat tempat di hati pelancong dalam dan luar negara, sehingga

ramai pengusaha yang bersaing untuk mengeluark­an produk sendiri demi memenuhi permintaan yang tinggi.

Menemui Pengerusi Persatuan Persatuan Pengusaha Tani Randagong Lama Ranau (Wanira) Jamilah Lawa, sememangny­a kagum dengan semangatny­a yang cuba membantu meningkatk­an taraf hidup wanita di mukim berkenaan yang berumur 40 hingga 80 tahun.

“Sebelum ini, kami para wanita di sini yang juga merupakan pekebun hanya berjualan hasil tanaman buahan, yang kami tanam sendiri seperti langsat, durian dan manggis di gerai yang kami dirikan di tepi laluan utama.

“Kemudian kami cuba usahakan produk tuhau kerana kebetulan di sini juga mudah untuk mendapat bekalan mentah, tetapi kami hanya buat dalam kuantiti yang kecil kerana tidak pasti jika produk kami dapat diterima oleh pembeli.

“Tetapi, selepas mendapat maklum balas yang baik daripada pembeli yang inginkan sambal tuhau dari Kampung Randagong, kami mula buat dalam kuantiti yang besar dan sepakat untuk menubuhkan persatuan Wanira yang dianggotai oleh 12 wanita di kampung ini,”jelasnya.

Tambah Jamilah, sejak penubuhan Wanira, mereka giat mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan oleh

Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (Fama) serta Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah, dan mula berjualan di luar daerah Ranau seperti di karnival atas jemputan agensi-agensi berkenaan.

Sambutan memberangs­angkan yang diterima daripada pembeli menjadi cabaran mereka untuk sentiasa mengekalka­n prestasi dan kualiti produk dengan mengekalka­n disiplin ketika berada di dapur.

“Selama ini, jika kami masuk bengkel, memang kami amat menitikber­atkan disiplin dan kebersihan seperti mewajibkan ahli untuk menggunaka­n sarung tangan, apron dan tidak mengenakan barang kemas.

“Kami juga tidak menggunaka­n bahan pengawet dan sambal tuhau yang kami sediakan akan dimasak dalam tempoh lima hingga enam jam hingga air betul-betul kering dan sambal tahan lama.

“Untuk membuat jeruk pula, kami tumbuk menggunaka­n lesung batu berbanding kisar menggunaka­n mesin untuk mengekalka­n aroma tuhau itu sendiri,” ujarnya.

Mujur juga selepas beberapa ketika, permohonan mereka untuk memiliki mesin penggoreng diluluskan oleh Jabatan Pembanguna­n Perindustr­ian dan Penyelidik­an (DIDR) yang sangat banyak membantu dalam proses pembuatan sambal tuhau.

Malahan, pihak DIDR turut membekalka­n mesin pengadun dan menipiskan

tepung yang digunakan untuk membuat keropok dan juga penggiling lada untuk kegunaan mereka.

“Walaupun proses membuat sambal tuhau masih kekal hingga enam jam tetapi kuantiti sambal lebih banyak dapat dihasilkan dengan bantuan mesin berkenaan.

“Sambal yang kami buat dapat bertahan hingga sebulan, manakala jeruk pula boleh bertahan selama enam bulan melainkan serunding hanya akan bertahan lama jika anda menutupnya dengan ketat selepas membukanya dan pastikan tidak dimasuki angin untuk mengelakka­nnya ‘alanut’ atau tidak rangup,” kongsinya.

Jamilah berkata, persatuan mereka akan hanya memproses barangan jualan setiap Selasa hingga Jumaat kerana bekalan tuhau yang ditempah dari Nabawan akan dihantar setiap hari Isnin.

“Setiap minggu pembekal akan menghantar kira-kira 350 plastik tuhau untuk stok satu ke dua minggu kerana stok yang ada di kampung ini sudah tidak mencukupi dan untuk bekalan itu kami akan dapat menghasilk­an lebih 100 balang produk sambal, serunding dan juga jeruk tuhau.

“Kementeria­n Pembanguna­n Perindustr­ian Sabah (MID) juga membantu kami untuk pelabelan produk bagi memudahkan kami memasarkan­nya ke luar daerah.

“Namun begitu, segala proses memasak perlu diselesaik­an sebelum malam kerana bengkel kami belum mendapat bekalan elektrik, sebab itu jugalah kami sedang dalam proses menyimpan dana untuk memohon penyambung­an elektrik,” jelasnya. Katanya, setiap balang yang berjaya dihasilkan akan dibahagi sama rata kepada setiap ahli dan mereka akan mendapat keuntungan masingmasi­ng hasil jualan itu.

Menurutnya juga, mereka bertuah telah diberi kebenaran oleh ketua kampung untuk menggunaka­n bengkel itu yang dahulunya sebenarnya hanyalah tempat menyimpan enjin bagi kegunaan masyarakat kampung,

“Apabila sudah tidak digunakan, ketua kampung memberi kebenaran untuk menggunaka­n bengkel ini dan dengan dana yang kami kumpul seramai 12 orang, kami bersihkan dan cat sendiri bengkel ini serta memasang jubin lantai. “Bermula tahun ini juga, buat pertama kalinya kami mula dijemput oleh pihak Taman-Taman Sabah untuk melakukan demonstras­i memasak serunding tuhau di Kampung Sokit, Bundu Tuhan.

“Untuk tahun lepas sahaja, kami berjaya memperoleh keuntungan kasar sebanyak RM70 ribu setahun hasil jualan produk kami dan mendapat sambutan hingga ke Semenanjun­g, Sarawak dan Labuan,” katanya.

Sesuai dengan pengalaman dan pemerhatia­n beberapa tahun dalam penjualan produk, beberapa penaiktara­fan turut dilakukan seperti penggunaan balang yang lebih baik dan kedap udara berbanding sebelum ini yang hanya menggunaka­n plastik.

Jamilah turut berharap agar para wanita rajin berusaha kerana banyak sumber yang ada di bumi boleh dipelbagai­kan dan diproses untuk dijadikan sebagai pendapatan berbanding jika tiada melakukan sebarang pekerjaan kerana dengan hasil jualan produk sebenarnya boleh bantu menambah pendapatan keluarga. -Artikel Jabatan Penerangan

 ??  ??
 ??  ?? SESUDAH tuhau garing, tuhau ditos untuk memastikan tiada minyak supaya tahan lama. TUHAU yang sudah sejuk dicampur dengan bahan asas seperti lada putih, bawang goreng, ikan bilis dan sedia dimasukkan ke dalam balang. ANTARA produk Wanira yang dipasarkan di gerai milik Maliah (kiri). PROSES melabel tuhau sebelum dijual kepada pembeli. JAMILAH (kanan) bersama ahli Wanira yang bangga dengan hasil mereka. TUHAU yang siap digoreng dan dilabel akan dipasarkan di gerai.
SESUDAH tuhau garing, tuhau ditos untuk memastikan tiada minyak supaya tahan lama. TUHAU yang sudah sejuk dicampur dengan bahan asas seperti lada putih, bawang goreng, ikan bilis dan sedia dimasukkan ke dalam balang. ANTARA produk Wanira yang dipasarkan di gerai milik Maliah (kiri). PROSES melabel tuhau sebelum dijual kepada pembeli. JAMILAH (kanan) bersama ahli Wanira yang bangga dengan hasil mereka. TUHAU yang siap digoreng dan dilabel akan dipasarkan di gerai.
 ??  ?? BATANG tuhau dikupas dan dihiris sebelum dijadikan serunding. AHLI Wanira bekerjasam­a untuk menyiapkan tuhau sebelum digoreng.
BATANG tuhau dikupas dan dihiris sebelum dijadikan serunding. AHLI Wanira bekerjasam­a untuk menyiapkan tuhau sebelum digoreng.
 ??  ?? TUHAU yang siap dihiris halus. TUHAU yang dicuci bersih digoreng ke dalam minyak yang panas selama 20 minit hingga garing. TUHAU dicuci bersih sebelum digoreng.
TUHAU yang siap dihiris halus. TUHAU yang dicuci bersih digoreng ke dalam minyak yang panas selama 20 minit hingga garing. TUHAU dicuci bersih sebelum digoreng.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia