Utusan Borneo (Sabah)

Masyarakat digesa bersatu padu, hidup bertoleran­si

- Oleh SALMAN ABADI

RANAU: Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin berkata terdapat banyak peluang yang mana usaha dan kerja tertentu mungkin telah dicapai sekiranya terdapat kesanggupa­n serta kerjasama dalam kalangan persatuan Cina di daerah ini.

Justeru, pelbagai etnik Cina khususnya di Ranau digesa supaya bersatu padu untuk menjadikan kawasan itu sebuah daerah yang lebih baik dan lebih maju, sekalipun terdapat perbezaan dalam amalan dan pendirian dalam kalangan mereka.

“Ini mungkin sesuatu yang pahit untuk diterima oleh segelintir pihak, tetapi ada ketidakhar­monian dalam kalangan pelbagai etnik di sini hari ini.

“Kita dapat melihatnya dalam aktiviti yang dianjurkan oleh satu kumpulan manakala kumpulan lain tidak mahu hadir,” katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau mengajak masyarakat keseluruha­nnya, sejajar dengan semangat Tahun Baharu Cina dan juga kerajaan baharu, agar hidup dalam toleransi, persefaham­an, kerendahan hati dan keikhlasan antara dua pihak yang berbeza.

Jonathan yang juga pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SJK(C) House Pai Wen di dewan serbaguna sekolah itu pada Sabtu.

Mengenai perayaan itu, beliau mengucapka­n tahniah kepada pihak sekolah dan semua yang terlibat atas inisiatif dan kejayaan menganjurk­an rumah terbuka pada tahun ini dan menggalakk­an mereka meneruskan program itu pada masa akan datang.

Beliau turut mengumumka­n sumbangan masing-masing sebanyak RM10,000 kepada Lembaga Pentadbira­n SJK(C) Pai Wen, Persatuan Peranakan Tionghua Ranau dan Persatuan Hokkien Ranau.

Turut hadir pada majlis itu ialah Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Haji Nordin Siman, Guru Besar SJK(C) Pai Wen Ng Li King @Goh Li King, Pengerusi Persatuan Peranakan Tionghua Ranau Chia Yin Kiong @Alldem dan Pengerusi Persatuan Hokkien Ranau Tee Giok Moi serta para tetamu jemputan yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia