Perasa anjur siri kedua Hari Terbuka Usahawan
TAWAU: Persatuan Peduli dan Prihatin Rakyat Sabah (Perasa) melalui Biro Ekonomi dan Keusahawanannya telah menganjurkan siri kedua Program Hari Terbuka Usahawan dan Peniaga Bersama Agensi Perbankan Daerah Tawau 2019 bertempat di Perpustakaan Daerah Tawau.
Lebih 100 usahawan termasuk peniaga dari Lahad Datu, Kunak, Semporna, Pulau Sebatik, Merotai dan Kalabakan menghadiri program itu yang disempurnakan majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan merangkap Adun Merotai Sarifuddin Hata.
Menurut Sarifuddin, kerajaan negeri amat komited membantu usahawan tempatan untuk memajukan perniagaan menerusi pinjaman yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
Katanya ia telah disebut dalam Belanjawan 2019 bagi menggalakkan golongan usahawan muda serta luar bandar menceburi bidang perniagaan.
“Kerajaan negeri juga akan meneruskan pelaksanaan e-Dagang yang akan membolehkan pembangunan Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) di negeri ini.
“Lebih banyak program pembangunan ekonomi digital akan dilaksanakan oleh kementerian ini bersamasama Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) pada tahun ini dan kita berharap usahawan Sabah tidak melepaskan peluang keemasan untuk mengembangkan pemasaran produk masing-masing melalui alam maya,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri melalui kementerian berkaitan juga akan mengeluarkan satu label bagi produk-produk Sabah yang mencapai satu ‘standard’ yang tertentu untuk mengetahui bahawa produk berkenaan merupakan yang dikeluarkan dari Sabah dan mempunyai kualiti tinggi.
Turut diadakan sempena program itu adalah sesi taklimat pinjaman perniagaan dan geran bantuan daripada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Tawau, bank-bank komersil serta sesi bual bicara Sarifuddin dan Majlis Perbandaran Tawau bersama para peniaga yang berhubungkait isu-isu semasa.