Pusat Teknikal Dron Kuching dilancarkan di Kuching
SYARIKAT Chemsain dan Drone Academy Asia telah melancarkan Pusat Teknikal Dron Kuching (DTCK) di sini pada 15 Februari lepas.
Majlis telah disempurnakan Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
“Pelancaran DTCK adalah bertepatan dengan revolusi ekonomi digital dan Industri 4.0 negara.
“DTCK telah terbukti merapatkan jurang institusi kelas dunia seperti DJI ke pasaran khusus Sarawak dan Sabah, sama ada dalam perkhidmatan perindustrian, perniagaan produk pengguna atau pelaburan berteknologi tinggi.
“DJI marque dalam teknologi dron adalah setaraf dengan produk berjenama Apple dalam industri telefon bimbit,” katanya ketika membacakan teks Abang Johari di sini.
Sarawak, sebelum ini telah memperbanyakkan usaha untuk membawa banyak syarikat berteknologi tinggi bagi mewujudkan kitaran yang akan menghasilkan kalangan pekerja berpengetahuan tinggi dan mahir dalam menjalankan aktiviti ekonomi dan pembangunan mampan di sini.
Menurutnya juga, DTCK sangat sesuai dengan inisiatif transformasi sosial oleh Kerajaan Sarawak yang berusaha untuk meningkatkan pelaburan dalam sektor perindustrian antara lain melalui pemodenan pelbagai sektor kerajaan menerusi penggunaan dron.
Drone tegasnya, membolehkan proses membuat keputusan yang lebih cepat berupaya dikerahkan pada bila-bila masa untuk menganalisis keadaan seperti kejadian banjir, misi pencarian, pemantauan alam sekitar, pemerhatian jerebu, pemantauan kemarau bahkan kejuruteraan atau pemeriksaan bangunan untuk keselamatan.
Kerajaan Sarawak merasakan kesan positif dengan adanya penggunaan dron yang akan menyumbang kepada pengurusan alam sekitar dan pembangunan alam sekitar yang lebih baik untuk tempoh jangka panjang di negeri ini. Malah, DTCK juga dapat menimbulkan kitaran ekosistem sosioekonomi yang bermanfaat sebagai sebahagian daripada perkhidmatan mereka seperti latihan, pensijilan dan akreditasi di mana juruterbang dron adalah terlatih.
Pengendali dron dan peminat dron boleh mendapat manfaat melalui DTCK dengan menjadikan mereka lebih berpengetahuan dan bertanggungjawab dan pengendalian dron yang lebih selamat.
Selain itu, DTCK juga dapat menggalakkan keusahawanan, dengan cara meningkatkan penyertaan dalam bidang keusahawanan terutama dalam kalangan belia dan generasi muda yang lahir dalam ekonomi digital.
Dron juga berupaya dalam membantu pemantauan infrastruktur bandar dan luar bandar, perancangan, pengembangan dan pembangunan semula pedalaman, pengurusan sumber air, pengawasan alam sekitar dan analisis sosioekonomi.