Tangani masalah kanak-kanak tiada kewarganegaraan
KUCHING: Ketua masyarakat harus memberikan maklumat kepada Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran Negara, jika terdapat kanak-kanak di kawasan masing-masing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan, status kewarganegaraan belum ditentukan dan diketagorikan sebagai bukan warganegara.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan KanakKanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peranan yang dimainkan oleh ketua masyarakat itu sangat penting dalam menentukan masa depan kanak-kanak terbabit, terutama dalam bidang pendidikan.
“Jumlah tidak penting, biarpun hanya seorang di kawasan itu tetapi maklumat mereka harus diberikan kepada Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran.
“Ini adalah salah satu cara terbaik untuk kita membantu golongan kanak-kanak ini supaya mereka mendapat status kewarganegaraan sekali gus dapat menyelesaikan isu kewarganegaraan di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama Kementerian Pendidikan Malaysia mengenai isu akses pendidikan bagi kanak-kanak dalam kategori bukan warganegara dan kewarganegaraan yang belum ditentukan di Sarawak di pejabatnya, Bangunan Baitulmakmur di sini, pada Selasa.
Fatimah menambah, ibu bapa juga harus mengambil inisiatif untuk mendaftarkan kelahiran dan dokumen pengenalan anak-anak.
“Ini sangat penting, jangan abaikan perkara ini kerana anak ini akan menjadi mangsa apabila besar nanti, seperti tidak dapat bersekolah dan sebagainya,” katanya.
Menurut beliau, di Sarawak, terdapat banyak kes di mana kanak-kanak tidak mempunyai dokumen pengenalan, status kewarganegaraan belum ditentukan dan diketagorikan sebagai bukan warganegara.
Justeru, beliau menjangkakan masih terdapat ramai golongan kanak-kanak tersebut ketika ini, namun tidak dapat dikesan kerana tidak bersekolah disebabkan status kewarganegaraan mereka.
Katanya, usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan juga sudah dilakukan pada tahun lepas melalui kerjasama Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran di bawah Program Jangkauan.
“Usaha ini akan diteruskan sama ada di bandar, luar bandar mahupun pedalaman, di mana Jabatan Pendidikan dan Jabatan Pendaftaran turun padang menemui mereka,” katanya.
Sementara itu, Fatimah berkata terdapat 766 kanak-kanak di Sarawak yang tiada status kewarganegaraan kini sudah bersekolah pada tahun ini.
Katanya, perkembangan itu adalah hasil inisiatif baik yang dilakukan Kementerian Pendidikan dengan membenarkan kanak-kanak yang tiada status kewarganegaraan mendaftar masuk ke sekolah-sekolah kerajaan, bantuan kerajaan atau pendidikan swasta di negara ini.