Usahawan wanita diperkasa menerusi program hubungan ASEAN-Jepun
KUALA LUMPUR: Pusat ASEAN-Japan (AJC) barubaru ini menganjurkan Program Hubungan Usahawan Wanita ASEAN-Jepun ke-3 (AJWELP), bersama SME Corporation Malaysia di sini.
Kerajaan dari negara anggota ASEAN dan Jepun komited untuk mempromosi pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana termasuk pemerkasaan usahawan wanita untuk menambah baik kesaksamaan gender.
Justeru, untuk meningkatkan usaha, AJC melancarkan AJWELP, sebuah program sokongan untuk syarikat pemula niaga usahawan wanita di negara anggota ASEAN menjalin hubungan antara syarikat pemula niaga, syarikat dan para mentor.
AJWELP pertama kali berlangsung di Manila, Filipina pada 2016 diikuti Jakarta, Indonesia pada 2017.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menyampaikan ucaptama, berkongsi fakta mengenai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki wanita di Malaysia dan bagaimana kerajaan Malaysia menyokong mereka.
Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata program berkenaan akan mencatat kejayaan yang lebih gemilang dalam memperkasakan wanita di rantau ASEAN kerana ia sudah dilaksanakan buat tahun ketiga.
Program ini mengetengahkan perniagaan oleh syarikat pemula niaga dari 10 anggota ASEAN, yang membentangkan perniagaan dan cabaran masing-masing. Wakil syarikat dan para mentor yang juga usahawan berpengalaman, turut menyertai sesi pembentangan itu.
Selepas acara itu, wakil syarikat memilih syarikat pemula niaga yang akan disokong, sejajar dengan perniagaan syarikat masingmasing.
Pengasas bersama Kloth Malaysia, Nik Suzila Nik Hassan merupakan finalis untuk Malaysia. Kloth Malaysia ialah syarikat kitar semula tekstil.
Sementara itu, mentor Malaysia dalam program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Hernan Corporation Sdn Bhd, Anna Teo. - Bernama