‘Alita’ ungguli carta box office Amerika Utara
FILEM cereka sains baharu keluaran Fox, ‘Alita: Battle Angel’ mendominasi carta box office sepanjang cuti hujung minggu empat hari di Amerika Utara, memperolehi AS$33.5 juta seperti yang didedahkan oleh pemantau industri Exhibitor Relations pada Selasa.
Filem futuristik, dengan aktres Rosa Salazar sebagai Alita iaitu robot yang lebih manusia daripada mesin, adalah sebuah adaptasi janaan komputer daripada manga cyberpunk Jepun.
Diarahkan oleh Robert Rodriguez dan diterbitkan oleh James Cameron, projek untuk filem AS$170 juta itu berada dalam pembikinan selama 20 tahun.
Filem Fox berkenaan mengalahkan juara minggu lepas, ‘The Lego Movie 2: The Second Part’ yang memberikan Warner Bros. anggaran AS$27.8 juta pada hujung minggu cuti Hari Presiden itu.
Filem ‘Lego’ keempat itu sekali lagi menampilkan suara-suara Chris Pratt, Elizabeth Banks dan Will Arnett, selain turut disertai oleh Tiffany Haddish dan Maya Rudolph pada kali ini, dalam sebuah kisah cinta dan huru-hara dalam paska apokalips dunia permainan.
Di tempat ketiga adalah sebuah lagi filem Warner Bros., ‘Isn’t It Romantic?’, dengan AS$16.6 juta. Rebel Wilson membintangi sebagai seorang penduduk New York yang bencikan kisah cinta, di mana selepas kepalanya terhantuk mendapati dirinya dalam komedi romantiknya sendiri.
Filem itu turut dibintangi oleh Liam Hemsworth.