M’sia sedia tarik lebih banyak permintaan sukuk
QFC sediakan perkhidmatan ke pasaran kewangan Islam dunia
KUALA LUMPUR: Sebagai penerbit sukuk terbesar di dunia, Malaysia dijangka menarik lebih banyak permintaan untuk bon patuh Syariah di seluruh dunia menerusi inisiatif yang diambil oleh Pusat Kewangan Qatar (QFC) bagi menyediakan perkhidmatan ke pasaran kewangan Islam dunia bernilai AS$2 trilion, kata Bursa dan Bursa Maklumat Sukuk (BIX Malaysia).
Pengurus BIX Ahmad Al Izham Izadin berkata terdapat peluang besar untuk Malaysia memanfaatkan pelan besar itu, memberi perkhidmatan bukan hanya kepada negara Islam, malah kepada negara bukan Islam yang mencari pembiayaan Islam.
“Menerusi pakatan ini juga, negara lain dapat memanfaatkan permintaan daripada para pelabur di Malaysia.
“(Dan) pada masa yang sama, kita juga boleh mendapat lebih banyak pilihan dengan mendapatkan negara lain untuk turut serta dari segi pelaburan. Namun sudah pasti kita perlu berhatihati terhadap mata wang,” katanya kepada Bernama di luar acara Dialog Fintech Islam Kedua 2019 (IFD2019), di sini semalam.
Pada Disember lepas, Qatar mengumumkan inisiatifnya dengan Malaysia dan Turki berperanan untuk menyediakan perkhidmatan kepada pasaran kewangan Islam global dari habnya di tiga negara, menggunakan platform dan teknologi yang sama apabila ia beralih pergantungan yang tinggi ke atas sektor minyak dan gas.
Menerusi rancangan itu, Ketua Pegawai eksekutif QFC, Yousef Mohamed Al Jaida dilaporkan berkata bahawa ‘Turki akan menyediakan keperluan kewangan Islam di Eropah, Qatar bagi Timur Tengah dan Malaysia akan menjual ke Asia’.
Sebagai antara peneraju dalam penerbit sukuk terbesar dunia, Malaysia menguasai kira-kira 34 peratus daripada pasaran global pada 2018.
Mengulas inisiatif QFC, Pengarah Eksekutif Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA) Prof Dr Mohammad Akram Laldin berkata Malaysia mempunyai pandangan yang sama.
“Malaysia menyokong inisiatif standard yang sama dengan pusat kewangan lain bagi meningkatkan keyakinan terhadap kewangan Islam. Kita perlu lebih komited untuk melaksanakan standard dalam undang-undang, percukaian dan tadbir urus kewangan Islam dengan sebanyak mungkin negara,” katanya.
Mohammad Akram menekankan bahawa pada 2018, Malaysia kekal sebagai antara penerbit terbesar sukuk atau bon patuh Syariah, berjumlah RM112.4 bilion, dan menambah bahawa nilai itu merupakan satu pertiga daripada pasaran global.
Beliau berkata Bank Negara Malaysia menandatangani memorandum persefahaman dengan pihak berkuasa Qatar dan Dubai pada 2007 untuk menggalakkan kerjasama bersama.
Sementara itu, Ahmad Al I z ham, yang merupakan antara ahli panel dialog bertajuk ‘Bersaing atau Usaha sama’, berkata tidak ada persaingan yang mencukupi dalam landskap perniagaan Malaysia yang boleh mengganggu dan menjadikannya lebih cegas selain mempromosi persaingan yang sihat.
“Jika anda melihat perniagaan di luar negara, terdapat banyak syarikat pemula niaga yang masuk ke dalam negara yang boleh memberi impak kepada perniagaan, namun tidak di Asia dan Malaysia.
“Ada banyak kejayaan seperti Grab, dan ini adalah jenis inovasi yang perlu kami lakukan dalam fintech,” katanya.
Edisi kedua IFD2019 semalam menyaksikan pelancaran Rangkaian Finterra Wakaf, platform pertama dan satu-satunya di dunia yang secara khusus membangunkan penyelesaian berasaskan lejar digital terbuka untuk amal wakaf pendanaan awam, pelaburan Islam dan pinjaman rakan sebaya.
Persidangan dua hari itu memberi tumpuan kepada mekanisme dan instrumen yang telah disediakan untuk menyokong pembangunan FinTech Islam dan mewujudkan peluang baharu dalam pembangunan kewangan Islam secara menyeluruh. — Bernama