400 sertai Seminar Wanita Islam Pada Alaf Baharu 2019
SANDAKAN: Seramai 400 muslimah sekitar Sandakan dan Lahad Datu telah menyertai Seminar Wanita Islam Pada Alaf Baharu 2019 bertempat di Dewan Kuliah Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, di sini pada Ahad.
Seminar itu telah membincangkan pelbagai topik menarik dan ilmu agama yang berkaitan cabaran-cabaran wanita pada masa kini.
Pegawai Perhubungan Parlimen Batu Sapi Adin Haji Ismail dalam ucapan perasmiannya berkata, pihak kerajaan menyambut baik usaha badan-badan bukan kerajaan dalam membantu mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai moral dan akhlak tinggi sekali gus sebagai usaha murni ke arah mencegah gejala negatif.
“Saya merakamkan setinggi penghargaan buat penceramah undangan iaitu Tuan Syeikh Haji Lokeman Hazli Haji Azali yang merupakan pakar rujuk di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan adalah seorang pendakwah yang sangat berpengalaman luas berceramah di lebih 20 negara seluruh dunia.
“Kita bersyukur kerana di saat datangnya pelbagai ujian akhir zaman, negeri kita juga didatangkan dengan ulamaulama yang terus mendidik masyarakat. Semoga dengan usaha dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat dapat melahirkan masyarakat yang berkualiti dan berilmu pengetahuan dalam membangunkan negara,” katanya.
Hadir sama, Ketua Unit Pentadbiran Jabatan HalEhwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Bahagian Sandakan Raman Rabi, Pengerusi Persatuan Moral dan Pembangunan Insan Malaysia Cawangan Sandakan Dr Haji Baso Mapatang, Ketua Anak Negeri Karamunting Haji Ahmad Haji Syed Omar Ali dan Pengarah Program Seminar Wanita Islam Pada Alaf Baharu Syed Nahar Syed Amirul.
Bicara hati yang disampaikan oleh Syeikh Haji Lokeman berjaya meruntun jiwa setiap peserta dengan perkongsian ilmu agama yang amat mendalam terutama ketika membincangkan topiktopik cabaran wanita alaf baharu dalam menghadapi era globalisasi, mengimbangi keperluan kerjaya dan tugas asasi, masalah pergaulan sosial, kecenderungan materialistik, kejutan budaya negatif dan ancaman gerakan yang meruntuhkan akidah Islam.