Lelaki asing mengaku salah tetak pengusaha inap desa
KOTAKINABALU: Seorang lelaki warga asing mengaku bersalah atas pertuduhan cuba menyebabkan kematian seorang pengusaha inap desa warga Australia awal tahun ini.
Roy Samad Totong, 37, yang bersenjatakan sebilah parang menetak kepala Broadhurst Daniel Barny, 46, pada 24 Januari jam 2 petang di tepi jalan Kampung Kiwoi, Tamparuli di daerah Tuaran.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun.
Setelah pertuduhan dibacakan kepada tertuduh, tertuduh mengatakan “Saya mengaku bersalah sebab dia (mangsa) pukul saya. Saya ada tetak dia”.
Berdasarkan fakta kes, satu panggilan daripada orang awam diterima polis berhubung kejadian terbabit.
Seorang lelaki berusia 47 tahun melihat mangsa dalam keadaan terbaring dan mengalami luka parah serta berlumuran darah di tepi jalan.
Tertuduh menetak kepala mangsa sebanyak tiga kali dan dua kali ditangan dengan menggunakan sebilah parang.
Selepas itu tertuduh terus meninggalkan mangsa dalam keadaan yang tidak sedarkan diri.
Hasil siasatan yang dilakukan, punca pergaduhan kerana tertuduh tidak berpuas hati dengan mangsa yang mengusir dirinya dan anaknya keluar dari rumah mangsa.
Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja memohon tarikh baharu untuk jatuh hukum.
“Senjata yang digunakan dihantar ke Jabatan Kimia dan laporan perubatan mangsa belum diperolehi. Mohon tarikh baharu,” katanya.
Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohamad Salim menetapkan pada 7 Mac untuk jatuh hukum terhadap tertuduh yang diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.
Awaltahunini,satukejadian menggemparkan masyarakat apabila seorang lelaki warga asing ditemukan dalam keadaan cedera parah.
Sementara suspek dipercayai melarikan diri ke kawasan hutan.
Mangsa yang berkahwin dengan warga tempatan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk mendapatkan rawatan susulan.