Utusan Borneo (Sabah)

Edar dadah: Tiga rakan terlepas hukuman gantung

-

IPOH: Tiga rakan terselamat daripada tali gantung apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melepaskan dan membebaska­n mereka daripada tiga pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lepas.

Pesuruhjay­a Kehakiman Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktika­n kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap S. Mathavan, 33; S. Logeswaran, 34 dan L.Keleman, 33.

Dalampengh­akimannya, Hayatul Akmal berkata setelah meneliti hujahan pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati terdapat individu lain yang boleh mengakses rumah yang merupakan lokasi semua tertuduh ditahan.

“Oleh itu, tidak selamat untuk mensabitka­n kesemua tertuduh. Pihak pendakwaan didapati gagal membuktika­n keraguan munasabah dan mahkamah memutuskan ketiga-tiga tertuduh dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga lelaki berkenaan didakwa secara bersama mengedar dadah jenis heroin dan Monoacetyl­morphines dengan berat keseluruha­n 207.8 gram.

Manakala bagi tuduhan kedua dan ketiga, mereka didakwa secara bersama mengedar heroin dan Monoacetyl­morphines seberat 17.6 gram serta 466.1 gram Methamphet­amine.

Mathavan yang bekerja sebagai mekanik, Logeswaran sebagai pemilik kedai cuci kereta manakala Keleman yang mengusahak­an kedai besi buruk didakwa melakukan kesemua pertuduhan itu di sebuah rumah, di Bandar Lahat Mines, Lahat, di sini, pada 3 petang, 20 Feb 2015.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Seramai sembilan saksi pembelaan manakala 13 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan bagi kes tersebut.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Maziyah Mansor manakala Mathavan dan Logeswaran diwakili peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti serta Syazwani Mohd Zawawi.

Keleman pula diwakili peguam Charan Singh serta Jagdave Singh.- Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia