Makmal proses dadah lumpuh, polis tahan sembilan suspek
SHAH ALAM: Polis Selangor melumpuhkan sindiket memproses dadah dengan tertangkapnya sembilan individu termasuk ibu dan anak dalam satu serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Setia Alam di sini pada Khamis lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata serbuan pada 12.30 tengah hari itu dilakukan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam sejak beberapa bulan lepas.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket berkenaan menyewa rumah tersebut pada kadar RM1,500 sebulan untuk didiami dan melindungi operasi makmal dadah mereka sejak enam bulan lepas memandangkan kawasannya yang lengkap berpagar dan dijaga rapi oleh pengawal keselamatan.
“Semasa serbuan, sebanyak 6.9 kilogram dadah disyaki heroin, 0.75 kg dadah disyaki ‘heroin base’, 1.25 kg dadah disyaki ganja dan 53.2 kg serbuk kafein dianggarkan bernilai RM149,585 serta peralatan pemprosesan makmal dadah itu dirampas.
“Kesemua tangkapan iaitu lapan lelaki dan seorang wanita berumur 19 hingga 65 tahun adalah warga tempatan. Wanita berumur 65 tahun dan tidak bekerja itu disyaki ibu kepada seorang daripada suspek. Kita sedang siasat apa peranannya kerana kesemua suspek dipercayai ada hubungan keluarga,” katanya dalam satu sidang media, di sini pada Isnin.
Noor Azam berkata makmal pemprosesan dadah itu juga disyaki menghasilkan 30kg hingga 35kg dadah sebulan yang mereka sasarkan untuk pasaran tempatan.
“Dadah 0.5 kg ‘heroin base’ itu boleh menghasilkan 10.8kg heroin selain 6.9 kg heroin itu pula apabila diproses boleh menghasilkan 17.66kg dadah yang disyaki boleh dibekalkan kepada 58,867 penagih sehari manakala rampasan 1.25kg ganja pula dipercayai boleh digunakan oleh 125 penagih.
“Bagaimanapun, kesemua suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, tukang paip dan buruh itu tiada rekod jenayah lampau dan hasil saringan ujian air kencing juga negatif dadah,” katanya yang turut memaklumkan polis sedang menyiasat sekiranya sindiket berkenaan mempunyai kaitan dengan mana-mana geng kongsi gelap.
Selain rampasan dadah, Noor Azam berkata pihaknya juga turut menyita enam kenderaan bernilai RM183,300 selain merampas wang tunai berjumlah RM3,700, pelbagai jam tangan berjenama dengan anggaran nilai RM3,000 dan barang kemas (RM25,300).Bernama