30 atlet dipilih wakil Sabah
Kejohanan merentas desa peringkat kebangsaan (MSSM) di Perlis pada 9 Mac
KOTA KINABALU: Sermai 30 atlet terbaik telah dikenal pasti melalui Majlis Pemilihan Atlet Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah-sekolah Sabah (MSSS) peringkat negeri yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Likas, di sini Sabtu lalu.
Sesi pemilihan itu dianjurkan oleh Unit Sukan Sektor Pembangunan Kemanusiaan (SPK) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan dikelolakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu dengan kerjasama Berwang Sport Club Kota Kinabalu.
Pegawai Penyelaras Sukan Merentas Desa MSS Sabah, Haji Pengiran Johari Pengiran Ahmad berkata seramai 30 atlet telahpun dipilih dan disenaraikan untuk mewakili Sabah ke Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Perlis pada 9 Mac depan.
Katanya, kejohanan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu bawah 18 tahun (B18) dan B15 untuk sekolah menengah dan B12 lelaki untuk sekolah rendah melibatkan peserta lelaki dan perempuan.
Menurutnya, setiap kategori akan diwakili oleh lima orang peserta yang menduduki tempat pertama hingga kelima dalam pemilihan tersebut yang buat pertama kalinya diadakan di trek atau balapan olahraga di Stadium Kompleks Sukan, berbanding sebelumnya yang diadakan di laluan terbuka dengan pelbagai cabaran seperti kawasan berbukit dan sebagainya.
Beliau berkata, pemilihan itu mendapat sambutan dan penyertaan penuh dari 24 daerah (pendidikan) di Sabah melibatkan jumlah peserta seramai 288 orang peserta dan 24 pegawai pengiring dari setiap daerah.
Majlis penyampaian sijil kepada para pemenang disempurnakan oleh wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Umin Haji Sadi yang juga Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pemilihan itu.
Turut hadir ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) Sektor Pembangunan Kemanusiaan (SPK) JPN Sabah Datu Roslin Datu Siabok, Penolong Pengarah Unit Sukan SPK JPN Sabah Zainal Madi yang juga Ketua Unit Sukan dan juga Ketuaketua Unit UPK seluruh Sabah.
Untuk rekod, kontinjen MSS Bahagian Barat muncul juara keseluruhan pada Kejohanan Merentas Desa MSS Sabah tahun lalu (2018) yang berlangsung di Kuala Penyu yang turut dimeraihkan dengan Majlis Pelancaran Jubli Emas 50 Tahun (1968 - 2018) MSS Sabah.