PERANTIM mampu lonjak ekosistem industri peranti perubatan
KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) semalam melancarkan Persatuan Perkilangan Peranti Perubatan (PERANTIM) bagi memperkasakan agenda industri peranti perubatan (bukan sarung tangan perubatan) di peringkat perdagangan global selain memacu ekosistem industri tersebut.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming said PERANTIM turut berperanan sebagai platform bagi pengeluar peranti perubatan yang dimiliki atau beroperasi di peringkat tempatan untuk saling bertukar pandangan mengenai kepentingan industri tersebut.
“PERANTIM telah ditubuhkan empat bulan lepas. Ini merupakan permulaan yang baik kerana pengeluar peranti perubatan tempatan berdepan banyak isu yang perlu diselaras dan ditangani oleh pihak berkepentingan termasuk kementerian dan agensi yang berbeza,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran persatuan itu di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi PERANTIM, NC Leow berkata persatuan itu menyasarkan untuk muncul sebagai entiti penggiat industri berkomunikasi mengenai isu dan peluang dengan pihak kementerian dan agensi berkaitan.
“Pada masa ini kami dianggotai tujuh ahli jawatankuasa dan berharap angka itu dapat ditambah kepada 40 dalam masa dua bulan ini.
“Kami juga teruja untuk bekerjasama erat dengan kerajaan bagi membangunkan lagi industri ini. Malah, kami yakin Malaysia berpotensi untuk muncul sebagai penggiat global dalam industri itu, khususnya dalam bidang produk perubatan guna habis,” katanya.
Menurut Leow, seramai 70-80 pengeluar tempatan terbabit dalam penghasilan peranti perubatan itu pada masa ini dengan pasaran eksportnya termasuk ke Amerika Syarikat, Eropah, Australia, China, Taiwan, India dan negara-negara Afrika.
Persatuan itu dilancarkan bersempena penganjuran seminar bertajuk Prospek dan Perkembangan Pengawalseliaan Industri Peranti Perubatan Global yang dianjurkan bersama oleh MATRADE dan PERANTIM.
Seminar itu dianjurkan bagi mengetengahkan butiran prestasi eksport peranti perubatan Malaysia yang turut buat pertama kalinya berjaya melepasi angka RM20 bilion dan mencecah RM22.97 bilion pada 2018.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Sharimahton Mat Salleh berkata eksport industri peranti perubatan menyaksikan perubahan ketara berbanding sarung tangan perubatan yang tradisional.
“Bagaimanapun, sejak lima tahun lepas, produk dan instrumen perubatan guna habis telah meningkat secara mendadak,” katanya.
Pertumbuhan eksport sarung tangan bukan perubatan bagi tempoh 2013 hingga 2018 adalah 15.2 peratus berbanding 9.4 peratus bagi sarung tangan perubatan.
Produk sarung tangan bukan perubatan Malaysia yang dieksport termasuk instrumen, peralatan dan peranti perubatan, tiub katerer, picagari serta jarum.