Pegawai kanan KPM ziarah dua murid SMK Labuan
DUA
pegawai kanan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut menyertai Program Ziarah Cakna SMK Labuan di Dewan Mutiara SMK Labuan pada Jumaat.
Rombongan KPM itu diketuai Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) KPM Mohd Jamil Mohamed dan Timbalan Pengarah BPSH Haji Pesol Md Saad.
Turut memeriahkan program itu ialah ketuaketua Sektor Pengurusan Sekolah (SPS) di 16 Jabatan Pendidikan Negeri seluruh Malaysia.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan Raisin Saidin dan Yang Dipertua PIBG SMK Labuan Haji Md Yusof Chuchu.
Pengetua SMK Labuan Ismail Abdullah berkata, objektif program adalah berkongsi kemenjadian diri murid bersama-sama ibu bapa dan penjaga, dan memahami latar belakang keluarga murid.
Selain itu, katanya, berkongsi pandangan antara ibu bapa/penjaga dan guru bagi mengembangkan potensi murid.
Beliau berkata tujuan program itu ialah untuk memperluaskan amalan penyayang dengan membudayakan amalan ziarah ke rumah murid di samping merapatkan hubungan antara ibu bapa dan warga sekolah.
“Program Ziarah Cakna diadakan untuk meningkatkan persefahaman antara ibu bapa dan guru berfokuskan pembangunan kemenjadian murid,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada rombongan KPM pada majlis itu.
Ismail berkata guru sebagai seorang yang memiliki sifat kepedulian, bertanggungjawab dan penyayang terhadap setiap perkara yang berkaitan dengan muridnya.
Katanya, program itu melibatkan semua murid tanpa mengira latar belakang selain Program Ziarah Cakna hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan menjadi budaya kepada guru.
Selepas taklimat program itu, rombongan KPM mengunjungi murid Tingkatan Dua SMK Labuan, Abdul Rashid Abdul Rajit di Kampung Saguking.
Abdul Rashid tinggal bersama bapanya, Abdul Rajit Zakaria, seorang buruh dan ibunya Erni Embaran seorang suri rumah serta empat adik-beradik.
Turut diziarahi rumah Ramlan Gapor, seorang peniaga burger yang tinggal di Kampung Patau-Patau Satu bersama anaknya Moha Aniq Aqlan Ramlan, murid Tingkatan Satu di SMK Labuan.
Ramlan mendiami rumah itu bersama isteri Siti Norimah Suhaili dan lima orang anak.
Mohd Jamil mengucapkan tahniah kepada SMK Labuan kerana berjaya merancang dan melaksanakan Program Ziarah Cakna dengan teratur.
Beliau berharap agar guru-guru memberi perhatian kepada setiap murid walaupun berlainan latar belakang, kebolehan, kelemahan dan kekuatan.
“Slogan SMK Labuan iaitu ‘Setiap Murid Bernilai’ sangat bertepatan dengan matlamat Program Ziarah Cakna ini,” katanya.