Repsol perluas program tajaan
KOTA KINABALU: Repsol Oil & Gas Malaysia Limited telah memperluaskan program tanggungjawab sosial syarikat itu dengan menaja program membina keupayaan untuk menjana pendapatan melalui ternakan madu kelulut.
Pengurus Kanan Bahagian Rantaian, Repsol Oil & Gas Malaysia Limited Shaik Mohamed Jamil Haja berkata, program pelaburan sosial berkenaan bertujuan membantu golongan sasaran dengan harapan agar mereka akan dapat menjana pendapatan lestari daripada keupayaan atau kemahiran yang telah mereka perolehi melalui kursus latihan berkenaan.
“Ia selari dengan usaha kerajaan di dalam menaik taraf sosio ekonomi masyarakat di bawah e-Kasih dan sebagainya,” katanya pada majlis penutupan program ‘Membina keupayaan untuk menjana pendapatan lestari melalui ternakan madu kelulut’ tajaan syarikat itu, disempurnakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr Daud Haji Yusof, bertempat di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini pada Selasa.
Shaik Mohamad berkata, pelaburan sosial itu adalah sebagai peluang tambahan kepada usaha kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) atau korporat yang lain untuk menyalurkan bantuan kepada lapisan masyarakat yang terpinggir supaya hidup mereka lebih cerah.
Beliau berkata, pada Januari 2018, Repsol telah memilih golongan nelayan dari Daerah Kuala Penyu kerana urusniaga syarikat itu beroperasi di luar pantai berhubung kait dengan nelayan yang juga mencari rezeki di laut. Ia ibarat aur dengan tebing.
Katanya, dengan kerjasama Jabatan Perikanan Kuala Penyu, Pejabat Daerah Kuala Penyu dan Mardi Sabah, Repsol telah menaja 10 peserta dari golongan nelayan di kawasan Kuala Penyu dalam penternakan madu kelulut dengan tujuan membina keupayaan supaya mereka dapat menjana alternatif yang lestari selain daripada penangkapan ikan di laut.
“Kami telah memilih madu kelulut kerana sektor ini yang sedang berkembang dan di dalam rangkaian ‘super food’,” katanya.
Shaik Mohamad berkata, pada majlis pelancaran program itu tahun lalu, beliau telah menyarankan agar para peserta komited dan bertanggungjawab untuk memajukan dan seteruskan mengembangkan perusahaan mereka agar ianya dapat menjana sumber pendapatan yang berterusan bagi mereka dan keluarga mereka.
“Setahun telah berlalu di mana para peserta telah menjalani dan memperoleh kaedah-kaedah pengawasan, penjagaan dan penyelenggaraan di masa menternak koloni madu kelulut mereka dengan khidmat nasihat serta pemantauan daripada pegawai Mardi Sabah.
“Repsol juga menyediakan hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, RM700 dan RM500 kepada tiga pemenang utama selepas pengurusan prestasi dan pengeluaran dalam tempoh 12 bulan. Ini adalah tambahan insentif kepada para peserta,” katanya.