Utusan Borneo (Sabah)

Norway tidak bercadang larang minyak sawit

-

BANTING: Kerajaan mahupun Parlimen Norway tidak pernah mengusulka­n untuk mengenakan larangan ke atas minyak sawit, kata Menteri Perdaganga­n dan Perindustr­ian Norway, Torbjørn Røe Isaksen.

“Apabila berbincang khususnya mengenai minyak sawit, adalah menarik untuk mengetahui bagaimana kerajaan (Malaysia) dan sistem perniagaan­nya beroperasi dengan sistematik untuk membangunk­an piawaian bagi kelestaria­n bagi mewujudkan nilai dan produk lebih baik secara mampan.

“Terdapat beberapa perbincang­an di Malaysia akhir-akhir ini mengenai dasar Norway berhubung minyak sawit dan saya mahu nyatakan bahawa ia sangat mudah dan jelas.

“Tidak pernah ada sebarang usul sama ada daripada kerajaan Norway atau Parlimen Norway untuk melarang minyak sawit, tidak pernah ada usul itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Ladang Barat Sime Darby di Pulau Carey di sini kelmarin.

Isaksen dan delegasiny­a yang tiba di Malaysia kelmarin membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Industri Utama Teresa Kok sebelum dibawa melawat ladang dan kilang memproses sawit. Lawatan itu turut disertai Duta Besar Norway ke Malaysia, Gunn Jorid Roset.

Isaksen berkata lawatan tersebut memberikan pelbagai perkongsia­n maklumat antara kedua-dua pihak mengenai perladanga­n sawit dan kepentinga­nnya kepada ekonomi Malaysia selain usaha kerajaan menghasilk­an industri sawit yang mampan.

Sementara itu Kok berkata kunjungan hormat Isaksen akan mengeratka­n lagi hubungan perdaganga­n antara keduadua negara khususnya berkaitan industri sawit.

“Saya gembira dengan lawatan delegasi dari Norway dan berharap ia mampu menjadi contoh kepada negara Eropah lain untuk turut bekerjasam­a dengan Malaysia bagi membantu membangunk­an pekebun kecil kelapa sawit dengan memenuhi syarat memelihara alam sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Kok berkata kunjungan hormat Isaksen turut membawa surat balas daripada Perdana Menteri Norway Erna Solberg sebagai maklum balas kepada surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini untuk menjelaska­n pendirian Malaysia berhubung undi oleh Parlimen Norway mengenai minyak sawit.

Ditanya sama ada kandungan surat itu memberikan maklum balas positif, Kok berkata: “Saya belum membacanya. Biar perdana menteri (Tun Dr Mahathir) yang baca.”

Sementara itu, Kok berkata jumlah nilai import minyak dan produk berasaskan kelapa sawit oleh Norway juga meningkat kepada RM4.83 juta tahun lepas berbanding RM2.14 juta pada 2017. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERKUALITI: Isaksen (kanan) melawat ladang kelapa sawit Sime Darby Plantation di Pulau Carey di Kuala Langat, kelmarin. Turut hadir Kok (dua kiri).
— Gambar Bernama BERKUALITI: Isaksen (kanan) melawat ladang kelapa sawit Sime Darby Plantation di Pulau Carey di Kuala Langat, kelmarin. Turut hadir Kok (dua kiri).

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia