AS bunuh 26 militan Al-Shabaab di Somalia
WASHINGTON: Pihak tentera AS telah mempertingkatkan kempen udaranya terhadap pihak militan AlShabaab di Somalia sejak beberapa hari lalu, dengan kelmarin pihak berkuasa menyatakan seramai 26 ‘pengganas’ telah terbunuh.
Serangan udara terbaru, berlaku di wilayah Hiran di tengah Somalia pada Khamis lepas, berlaku semasa keganasan di ibu negara Mogadishu memuncak.
Menurut pihak US Africa Command (AFRICOM), serangan itu telah membunuh 26 “pengganas.”
Ia tidak memberikan maklumat lanjut lagi namun serangan sebegitu adalah biasanya dilakukan oleh dron.
Serangan menjadikan angka kematian bagi militan Shabaab sejak beberapa hari lepas seramai 81 orang, dengan 20 terbunuh pada 25 Februari dan seramai 35 lagi terkorban sehari sebelum itu.
Serangan sebegitu “mengekalkan tekanan terhadap alShabaab dan mengganggu kitaran perancangannya serta menurunkan kemampuannya untuk mengumpulkan pasukan tentera dan mengatur serangan terhadap rakyat Somali,” timbalan pengarah perisikan AFRICOM, Brigadier Jeneral Gregory Hadfield menyatakan dalam satu kenyataan.
Namun pada Khamis lepas di Mogadishu, sebiji bom kereta Shabaab telah meletup, membunuh sekurang-kurangnya 19 orang.
Para pejuang Shabaab telah dihalau keluar dari bandar utama Somalia 2011, dan kemudian dari pekan-pekan dan bandar-bandar lain, oleh pasukan tentera Kesatuan Afrika.
Kumpulan yang dikaitkan dengan Al-Qaeda masih bertahan di beberapa bahagian besar di luar pedalaman walaupun pihak tentera AS sedang membantu pasukan tentera tempatan menentang pejuang jihad.
Shabaab melancarkan serangan senjata dan bom yang kerap terhadap sasaran kerajaan, tentera dan orang awam di Mogadishu, termasuk serangan hendap terhadap konvoi dan pos penjagaan tentera.
Dalam satu serangan pada Januari lepas, AFRICOM menyatakan ia telah membunuh 52 militan Somali.
Ketua bagi Africa Command Jeneral Thomas Waldhauser baru-baru ini memberitahu anggota perundangan AS bahawa serangan udara tidak akan menghalang Shabaab, dan beliau menyeru kepada pihak tentera Somalia agar mengambil lebih banyak tanggungjawab dalam pertempuran. — AFP