Utusan Borneo (Sabah)

Tiada ‘sebarang kerugian’ jika menyokong RUU Pindaan Perkara 1(2) Perlembaga­an Persekutua­n

-

KUCHING: Sarawak tidak akan mengalami ‘sebarang kerugian’ jika menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perkara 1(2) Perlembaga­an Persekutua­n.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen mendakwa cadangan pindaan yang dibaca buat kali pertama pada Khamis lepas bertujuan mengembali­kan status sebenar Sabah dan Sarawak.

“Ingin saya ulangi, pindaan perlembaga­an ini tidak berakhir di sini sahaja, ia berterusan kerana rundingan dan perbincang­an mengenai hak-hak Sarawak seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini adalah permulaan untuk mengembali­kan struktur dan kerangka untuk semua 13 negeri di Malaysia,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak di sini, semalam.

Chong berkata apabila pindaan itu sudah dibuat penurunan kuasa seperti dituntut Sarawak selama ini akan menyusul.

Sebagai contoh ujarnya, penurunan kuasa bagi pendidikan sudah tentu akta dan peraturan berkaitan perkara itu perlu dipinda bagi membolehka­n Sarawak mempunyai kuasa ke atasnya.

“Maka sebagai permulaan kepada semua ini, kita perlu mewujudkan asas yang kukuh, ia sama seperti membina sebuah rumah, tanpa asas kukuh, rumah yang mantap dari segi binaannya tidak dapat disiapkan,” katanya.

Timbalan Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu menambah, Sabah dan Sarawak akan kekal antara 13 negeri dalam Malaysia jika Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta Ahli Parlimen pembangkan­g tidak menyokong RUU tersebut yang dijadual untuk bacaan kedua dan seterusnya diundi Selasa ini.

Dakwa Chong lagi, cadangan pindaan itu adalah untuk mengembali­kan status Sabah dan Sarawak kerana ia menyebut Persekutua­n Malaysia terdiri daripada (a) 11 negeri Tanah Melayu dan (b) Negeri Malaysia Timur iaitu Sabah dan Sarawak.

“GPS perlu mengetepik­an ‘ego yang tinggi’ untuk mengembali­kan status negeri ini seperti asal sebelum Perlembaga­an Persekutua­n dipinda pada 1976.

“Oleh itu saya merayu (Ahli Parlimen) GPS menyokong pindaan dicadangka­n apabila RUU ini dibaca untuk kali kedua dan diundi Selasa ini,” ujarnya.

Tambahnya, adalah sangat penting untuk Sarawak mendapatka­n semula hakhaknya dalam persekutua­n.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia