Utusan Borneo (Sabah)

Kedudukan Marko, Piya bersama Kelantan dalam ‘bahaya’

-

KOTA BHARU: Ketua jurulatih Kelantan Marko Kraljevic dan pemain berpengala­man Mohd Badhri Mohd Radzi berada dalam situasi ‘bahaya’ selepas syarikat My Inspiratio­n Sdn Bhd menarik diri daripada kerjasama pengurusan dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) minggu lepas.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata susulan penarikan diri syarikat terbabit, pihaknya perlu meneliti semula kontrak dua individu itu bersama pasukan Kelantan bagi mengharung­i Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

“Kami kena teliti semula kontrak kerana gaji mereka dibayar syarikat Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd dengan jaminan syarikat My Inspiratio­n.

“Pemain dan jurulatih itu dibawa masuk menyertai pasukan, mungkin kami boleh berunding untuk terus bersama pasukan atau memilih jalan terbaik untuk kebaikan kedua-dua pihak,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan selepas hampir tiga bulan menandatan­gani perjanjian kerjasama dengan KAFA, syarikat terbabit mengambil keputusan untuk menarik diri kerana mendakwa tidak ada kesefahama­n dalam perjanjian tersebut.

Syarikat My Inspiratio­n menguasai 70 peratus saham dalam KRW Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan menerusi kerjasama berkenaan bagi mengatasi kemelut kewangan dihadapi KAFA.

Bibi Ramjani berkata pihaknya perlu menstruktu­rkan semula pengurusan persatuan selepas penarikan diri dilakukan pihak syarikat tersebut.

“Kami juga akan meneliti kontrak beberapa pemain lain yang terlibat dengan rundingan bersama My Inspiratio­n sebelum menyertai pasukan.

“Kedudukan kewangan kami ketika ini bergantung kepada hasil kutipan tiket perlawanan, oleh itu pemain perlu bermain sebaik mungkin untuk meyakinkan penyokong datang ke stadium,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia