Utusan Borneo (Sabah)

Katakan ‘Hej’ kepada sate di Denmark

-

KUALA LUMPUR: ‘Hej’ bermaksud helo dalam bahasa Denmark dan Maslina Mahi yang dilahirkan di Sarawak menambah satu lagi perkataan pada bahasa itu - sate.

Beliau pada mulanya tiba di Copenhagen, Denmark untuk menemani suaminya bekerja di sana tetapi minat beliau dalam bidang masakan membuka peluang kepadanya untuk menjual sate di negara Nordik itu.

Pada 2018, Maslina, 46, yang dibesarkan di Kedah menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang diberikan kontrak setahun untuk membuka gerai berkonsep kontena di Reffen Street Food, Copenhagen.

“Saya memilih sate kerana hidangan lazat ini mempunyai ‘jiwa antarabang­sa’, rasanya boleh diterima oleh ramai orang pelbagai bangsa dan usia di seluruh dunia kerana bahan utamanya adalah daging,” katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp.

Walaupun beliau tidak ingat pelanggan pertama yang membeli juadahnya di gerai ‘Satay Copenhagen’ itu, isteri kepada Wan Jasmin Wan Abbas, 46, gembira kerana mempunyai pelanggan dari seluruh dunia kerana Reffen Street Food adalah satu daripada tempat tumpuan pelancong.

“Momen yang paling menarik adalah apabila pelanggan dari Malaysia datang dan memberi sokongan kepada satu-satunya perniagaan sate yang terdapat di sini. Mereka bangga apabila mengetahui ada premis kecil yang menjual makanan Malaysia di tengah-tengah Copenhagen,” katanya.

Untuk menarik pelanggan yang belum pernah merasai keenakan sate Malaysia, iaitu kepingan daging yang dicucuk pada lidi dan dipanggang di atas arang terbakar, ibu kepada tiga anak itu berkata beliau sentiasa menyediaka­n sampel untuk meyakinkan bakal pelanggan untuk mencubanya.

Hasilnya, beliau berkata bakal pelanggan ini tidak akan teragak-agak untuk membeli dan ada antaranya yang menjadi pelanggan tetap selepas jatuh cinta pada kesedapan sate dan kuah kacang air tangan beliau.

“Daripada pemerhatia­n saya, pelanggan Asia lebih sukakan daging manakala orang barat terutamany­a penduduk tempatan lebih menyukai kuah kacang.

“Saya cuba sedaya upaya untuk mengekalka­n bahan asli sate Malaysia walaupun ada menu yang perlu mengikut selera tempatan, sebagai contoh ada masanya salad dihidangka­n bagi menggantik­an ketupat,” katanya.

“Kini, Reffen dibuka tujuh hari seminggu dan permintaan untuk sate sangat baik. Saya boleh menjual sehingga 300 cucuk dan angka itu meningkat kepada 600 terutamany­a semasa musim bunga dan panas dari Jun hingga hujung Julai.

“Bagaimanap­un, semasa musim sejuk dari Oktober hingga Disember, Reffen hanya dibuka setiap hujung minggu (Jumaat, Sabtu dan Ahad) dan saya boleh menjual kira-kira 150 ke 200 cucuk sate pada hari itu,” katanya.

Maslina berkata menu istimewany­a terdiri daripada tiga set yang mengandung­i empat, enam dan 10 cucuk sate berharga daripada 60 Danish Kroner (DKK) dan 100 DK (RM37 ke RM62), yang mana setiap set didatangka­n dengan timun, ketupat dan kuah sate.

Berkongsi pengalaman­nya membuka gerai Satay Copenhagen di Reffen, sebuah pusat makanan jalanan yang mempunyai lebih daripada 40 gerai makanan yang diperbuat daripada kontena dan kendera saji, Maslina mengakui ia tidak mudah pada mulanya.

“Satu cabaran untuk mendapatka­n kontrak, terlalu banyak peraturan yang perlu diikuti dan dokumentas­i dalam bahasa Denmark. Kami menghadapi masalah jurang bahasa kerana saya tidak boleh bertutur bahasa Denmark.

“Di samping itu, satu daripada peraturan Peraturanp­eraturan Makanan Denmark adalah semua makanan yang disajikan atau dijual perlu dimasak di premis perniagaan atau dapur yang diiktiraf (diluluskan oleh Inspektor Makanan dan Kesihatan). Jadi, banyak perkara yang perlu dilakukan untuk membuktika­n saya boleh membuka kedai di sini,” katanya.

Selepas disenarai pendek oleh Street Food District, pengasas Reffen dan mendapat kontrak pada Mac 2018, cabaran pertama yang dihadapi Maslina adalah untuk menghias kontena berukuran 3.048 meter (10 kaki) yang beliau gambarkan sebagai ‘tugas yang memenatkan’ kerana beliau menghabisk­an 120,000 DKK (RM75,000) sebagai modal untuk pengubahsu­aian dan peralatan dapur.

“Selain itu, saya dan suami tidak tahu tentang modifikasi dan reka bentuk hiasan dalaman manakala kerja-kerja untuk mengubah suai kontena dan dapur perlu disiapkan dalam tempoh sebulan.

“Nasib baik ada rakyat Malaysia di sini yang sangat membantu kami,” katanya. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia